FITRI Haris. FOTO Saddam Yusoff
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Selepas lima tahun menyepi, bekas anggota kumpulan nasyid popular UNIC, Fitri Haris kembali dengan lagu popular mereka, Hanya Tuhan Yang Tahu yang diberi nafas baru untuk mengubat kerinduan peminatnya.

Fitri yang juga peserta Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) berkata, lagu itu dipilih kerana ia memberi impak besar buat peminat, sekali gus pernah mencetuskan fenomena pada 2002.

“Saya mengakui mengalami kejutan selepas menang GGV2. Saya juga banyak menyanyi dan buat ‘live’ video di Instagram sebelum ini.

“Selepas menang, saya mahu beri sesuatu buat peminat setia yang tidak jemu menyokong dari belakang.

“Justeru, saya pilih untuk membuat kemunculan semula dalam industri hiburan tanah air dengan memberi nafas baru pada lagu Hanya Tuhan Yang Tahu kerana ia masih menjadi siulan peminat daripada kanak-kanak hingga dewasa,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Hanya Tuhan Yang Tahu di Butik Haqqi, Shah Alam, baru-baru ini.

Ditanya mengenai risiko merakamkan semula lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, Fitri berkata, dia tahu pasti ada pihak akan membandingkan lagu itu dengan versi asalnya.

“Saya hanya berusia 18 tahun ketika menyanyikan lagu ini bersama UNIC dulu. Kini, saya sudah berusia 34 tahun dan lebih matang berbanding dulu.

“Kali ini ia diberi susunan muzik lebih segar dan kontemporari serta mendapat sentuhan komposer Along dan Ujang Exists serta Wan Saleh. Klip video lagu ini ditaja sepenuhnya oleh Teddy Rox Film. Rekaan grafik serta komunikasi kreatif pula daripada MHK Communications,” katanya.

Berkongsi proses rakaman pula, kata Fitri, Along juga hanya mengambil masa empat hari saja untuk memberi nafas baru pada lagu Hanya Tuhan Yang Tahu.

“Along juga memberi sesuatu yang segar membabitkan susunan muziknya. Dia juga percaya lagu itu boleh pergi jauh dan masih meninggalkan impak mendalam pada peminat.

“Saya juga mendapat kebenaran daripada pencipta asal lagu ini, Isman Isam dari kumpulan Hijjaz untuk memberi nafas baru pada lagu ini,” katanya.

Lagu Hanya Tuhan Yang Tahu ciptaan asal Isman dan lirik oleh Atie juga pernah memenangi Anugerah Lagu Nasyid Pilihan pada Anugerah Era 2003.

Selesa bergerak sendiri

Selepas keluar daripada kumpulan UNIC, Fitri lebih selesa bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana pengurusan.

“Sudah lapan tahun saya bergerak secara solo menguruskan kerjaya nyanyian. Banyak syarikat menawarkan saya bernaung di bawah pengurusan mereka tetapi saya selesa menguruskan sendiri dengan pengalaman dalam bidang seni sedia ada.

Selain itu, saya juga menggunakan medium media sosial seperti YouTube dan Instagram untuk mempromosikan single baru yang menjadi trend ketika ini,” katanya.

Fitri yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga mahu mengembangkan bakat seni yang ada.

“Saya juga mahu mencuba bidang pengacaraan dan lakonan tetapi keutamaan tetap pada bidang pendidikan dan nyanyian,” katanya.

Selain Hanya Tuhan Yang Tahu yang diberi nafas baru, Fitri turut merancang untuk menghasilkan single baru tiga bulan sekali.

“Mengikut perancangan, saya akan menghasilkan tiga single baru iaitu sentuhan komposer Awi Rafael, Encik Mimpi dan satu lagi lagu Zinnirah yang turut membawa tuah pada saya pada GGV 2 dulu.

“Lagu ciptaan Encik Mimpi berjudul Wahai Kekasihku sudah siap dan ia berinspirasikan kisah cinta jarak jauh ketika saya menuntut di luar negara.

“Saya juga merancang untuk berduet dengan naib juara GGV 2, Adeep Nahar untuk merakamkan semula lagu Lagu Zinnirah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:57 AM