YADI mendapat rawatan sambil ditemani ibunya (kiri). Gambar kanan, Rasmi dapat penghargaan, semalam. FOTO Tribunjambi & Okezone
Agensi

Jambi (Indonesia): Seorang ibu sanggup mempertaruhkan nyawa apabila nekad terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anak lelakinya berusia 11 tahun yang diheret buaya sejauh 15 meter ketika turun mengambil air untuk menyiram pokok bunga di halaman rumah mereka.

Detik News melaporkan, dalam kejadian jam 10.30 malam (waktu tempatan), Sabtu lalu, di Kelurahan Teluk Dawan, Kabupaten Tanjung Jabung Timur, Jambi, Rasmi Dawan, 37, tidak berfikir panjang terus terjun dan berenang menyelamatkan anaknya Yadi Putra yang diterkam buaya di lengan kiri dan diheret ke dalam air.

“Saya beranikan diri menyelam ke sungai untuk merebut anak daripada gigitan buaya itu. Tiba-tiba tanpa disangka, buaya itu melepaskan gigitannya.

“Ketika itu saya tidak peduli langsung jika ada buaya lain menyerang kerana cuma mahu menyelamatkan anak yang sudah terseret 15 meter,” katanya.

Katanya, sungai itu memang mempunyai buaya, namun Yadi tidak melihat haiwan yang menerkamnya disebabkan keadaan gelap.

Menurut Tribun, penduduk kampung yang mendengar kekecohan itu kemudian membantu membawa Yadi yang cedera teruk pada tangan kirinya ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Wilayah III BKSDA Jambi, Faried berkata, satu pasukan dikerahkan ke sungai itu untuk menangkap dan memindahkan buaya berkenaan.

“Sungai itu memang habitat buaya, malah pernah ada kejadian penduduk dibunuh haiwan itu pada 2010,” katanya.

Keberanian Rasmi mendapat perhatian umum dengan Ketua Polis Resor Tanjung Jabung Timur, Superintendan Marinus Marantika Sitepu memberikan penghargaan kepadanya dalam satu upacara sempena Hari Bhayangkara ke-72 di lapangan Polres Tanjabtim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:23 AM