ANTARA pengisian program di Pusat Tahfiz Darul Ulum Az Zahra, Sungai Buloh. Gambar kecil, Ustaz Mohd Dailami. FOTO Rosdan Wahid
Suraya Roslan dan Muhammad Saufi Hassan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Persepsi negatif segelintir masyarakat dan terpaksa beroperasi menggunakan jumlah dana yang terhad menjadi cabaran terbesar kepada majoriti pengendali pusat tahfiz di seluruh negara.

Biarpun berdepan dengan pelbagai kesukaran, pengendali berkenaan tidak mengeluh dan mudah berputus asa, sebaliknya terus gigih menyebarkan ilmu Allah kepada masyarakat khasnya golongan muda.

Pengasas Pusat Tahfiz Luqmanulhakim di Bandar Tasir Puteri, Rawang, Ustaz Mahfuz Muhammad menyifatkan tujuan dia mendirikan pusat tahfiz itu bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab fardu kifayah kepada masyarakat.

“Kami membangunkan sekolah tahfiz ini bukan untuk kaya, bukan mahu mengaut keuntungan, sebaliknya fardu kifayah dan meluaskan lagi syiar Islam menerusi kefahaman sebenar menerusi al-Quran.

“Memang saya akui banyak kekurangan pada institusi ini menyebabkan kami beroperasi dalam kesukaran terutama dalam hal membabitkan dana untuk tampung perbelanjaan.

“Namun semua itu bukan alasan untuk kami berhenti daripada terus menggalas tanggungjawab ini mahupun lupakan atau tutup terus pusat tahfiz.

“Saya fikir hampir semua pengendali pusat tahfiz di negara ini berdepan masalah sama iaitu kekurangan dana dan infrastruktur. Pusat tahfiz atau pondok ini ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan kepada orang ramai dengan sasaran melahirkan lebih ramai huffaz,” katanya.

Mahfuz berkata, dana untuk menampung kos operasi pusat tahfiz dikendalikannya bergantung kepada jumlah sumbangan daripada orang ramai selain wang sagu hati diterima selepas berceramah.

“Yuran kami tidak wajibkan pun, kalau mampu ibu bapa boleh bayar, jika sebaliknya kami yang akan tanggung kos itu,” katanya.

Sementara itu, Mudir Pusat Tahfiz Darul Ulum Az Zahra, Kampung Sungai Plong, Shah Alam, Ustaz Mohd Dailami Che Age juga bersetuju bahawa kekangan kewangan dan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap institusi itu menjadi cabaran besar kepadanya.

Menurutnya, segelintir masyarakat hanya tahu mencari kesalahan pihak pengurusan atau pelajar tahfiz jika timbul sesuatu isu atau insiden tanpa ada usaha untuk membantu dengan memikirkan jalan penyelesaian.

“Aliran tahfiz ini bukan benda baharu, ia sudah dimulakan sejak zaman Rasulullah lagi. Institusi ini perlu dikekalkan dan diperkasakan lagi kerana sudah terbukti berjaya melahirkan ramai huffaz sekali gus mengagungkan kebesaran Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:46 AM