Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


"SAYA bukan pendendam. Saya dah lama maafkan dia. Saya tak pandai nak simpan dendam,".

Itu ungkapan penyanyi, Ziana Zain, 50, yang ditemui selepas sah bercerai talak satu dengan suaminya, Armin Zaharin Mohd Zambri, 53, pada jam 2.48 petang di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin bersyukur kerana semuanya berakhir dengan tenang dan mudah.

"Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan lancar dan mudah. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini.

"Saya juga berdoa supaya dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Berpisah Jua itu yang mengalirkan air mata saat ditemu bual bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya sendiri pun tak dapat tafsirkan air mata saya buat masa ini," katanya.

Ziana hadir mahkamah ditemani adiknya, penyanyi, Anuar Zain dan diwakili peguam, Yusfa Hanis Yussoff.

Anuar ketika diminta memberikan komen mengucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan media yang mendoakan kakaknya sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

"Alhamdulillah, akhirnya semuanya sudah berakhir.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli keluarga, peminat dan rakan-rakan media yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kakak saya," katanya.

Keputusan hakam berlangsung berakhir dengan penceraian talak satu antara Ziana dan Armin Zaharin selepas tiga bulan perbicaraan berlangsung.

Perkahwinan Ziana dan Armin dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19 Muhammad Ammar, 14 serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 3:48 PM
Ziana ditemani Anuar mengesat air mata selepas sah bercerai talak satu dengan suaminya, Armin Zaharin (kanan). FOTO FAIZ ANUAR