Norman bersama puteri sulung dilahirkan Memey. FOTO Ihsan IG Norman Hakim
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENANTIAN pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza untuk memiliki anak perempuan tercapai apabila Memey selamat melahirkan puteri sulung mereka, hari ini di sebuah hospital swasta.

Bayi seberat 3.35kg itu dilahirkan secara normal pada jam 12.52 tengah hari dan masih belum diberikan nama.

Berita gembira itu dikongsi Norman menerusi paparan video di laman sosial Instagramnya dan mendapat lebih 470,000 tontonan.

Dia turut menerima ucapan tahniah peminat.

Menerusi perkongsian hidup dibina pada 2011, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.

Norman sebelum ini, memberitahu Memey dijangka melahirkan anak ketiga mereka pada awal Ogos ini.

Sehari sebelum itu, Norman bersama bekas isterinya, Abby Abadi menyambut ketibaan anak sulung mereka, Mohamed Danish Hakim, 15, yang pulang ke tanah air selepas menduduki peperiksaan akhir hafazan di Turki sejak Februari lalu.

“Baby tunggu abang @danishhakim_243 balik, tu yang dia tak sabar nak keluar...BISMILLAH,” katanya dalam satu kiriman status ketika membawa Memey ke hospital pagi tadi.

Perkahwinan Norman dan Abby turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Sebelum ini, Memey mengesahkan bakal menimang bayi perempuan selepas melakukan imbasan 6D (teknik enam dimensi) di sebuah pusat perubatan, semalam.

Sebaik mengetahui jantina anak ketiga, mereka sudah membeli barang keperluan bagi menyambut kehadiran si kecil.

Memey memberitahu Norman beriya-iya mengatakan anak ketiga mereka perempuan tetapi dia enggan mempercayainya selagi tiada pengesahan doktor.

Kelahiran puteri itu mencukupkan jumlah korum zuriat Norman iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan hasil daripada dua perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:18 PM