PEGAWAI Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menampal notis penutupan operasi di sebuah restoran di Georgetown, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang
Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@nstp.com.my


JABATAN Kesihatan Pulau Pinang, hari ini mengarahkan sebuah restoran nasi briyani popular di Lebuh Chulia, Georgetown ditutup selama dua minggu selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Wan Mansor Hamzah, berkata, hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan restoran berkenaan tidak memuaskan berikutan penemuan tempat pembiakan lipas di dalam premis itu.

“Pegawai kesihatan memberi notis penutupan dua minggu kepada restoran itu bermula hari ini, kerana hasil pemeriksaan mendapati restoran terbabit beroperasi dalam keadaan kotor.

“Arahan itu dikeluarkan selepas beberapa pegawai kami membuat pemeriksaan dan menemui tempat pembiakan lipas di dalam premis.

“Difahamkan, ini bukan pertama kali restoran terkenal berkenaan menerima notis penutupan sementara kerana kotor,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Dr Wan Mansor berkata, dalam operasi sama bermula jam 8 pagi hari ini, sekurang-kurangnya 11 premis makanan diarahkan tutup, termasuk dua kilang memproses makanan.

Menurutnya, operasi yang dilakukan di sekitar Bandaraya Georgetown itu berakhir jam 10 malam tadi, membabitkan kira-kira 15 anggota penguat kuasa kesihatan.

Katanya, selain restoran nasi briyani terkenal itu, pihaknya turut mengeluarkan notis tutup ke atas sebuah restoran yang pernah disiarkan dalam sebuah program destinasi makanan popular di televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:51 PM