GAMBAR kanak-kanak perempuan yang putus tangan kiri tular di media sosial. Foto/IHSAN FACEBOOK
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


KANAK-kanak perempuan berusia tujuh tahun putus tangan kiri selepas baju dipakainya terbelit pada tayar motosikal yang sedang bergerak di Kampung Binjai Bongkok, Marang, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa dikatakan memakai baju sejuk bersaiz agak besar, menyebabkan bahagian baju itu tersangkut pada tayar motosikal berkenaan.

Sumber berkata, kejadian menyebabkan tangan mangsa tertarik ke dalam rim tayar motosikal sebelum dia terjatuh daripada motosikal ditunggangi ahli keluarganya sehingga tangannya terputus.

Gambar yang tular di laman sosial menunjukkan kanak-kanak berkenaan kelihatan tenang dan masih mampu duduk di lokasi kejadian sementara menunggu bantuan.

Kanak-kanak berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu oleh keluarganya untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, sumber keluarga mangsa mengesahkan tangan kanak-kanak berkenaan gagal disambung dalam pembedahan yang selesai kira-kira 6 pagi tadi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan tiada laporan diterima setakat ini berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:23 AM