JAMILAH menunjukkan baju yang dibeli arwah Nurbaya bagi majlis pertunangan yang dijadualkan berlangsung pada Disember ini. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


“ARWAH sempat membuat panggilan video, pagi semalam sebelum bertolak ke Ipoh dengan mengulang perkataan rindu dan 'bye' pada saya,” kata Jamilah Mid, 47.

Jamilah adalah ibu kepada Nurbaya Mohd Zaki, 24, yang maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 446, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat persimpangan Rawang, jam 12 tengah hari semalam.

Selain Nurbaya, turut meninggal dunia di tempat kejadian ialah dua rakannya yang turut menaiki Perodua Alza iaitu Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din dan Nur Fitrah Rosman kedua-keduanya berusia 24 tahun.

Jamilah berkata, pada mulanya dia berasa sesuatu yang pelik dengan sikap anak sulungnya itu biarpun jarang membuat panggilan video dengannya, namun berasa sayu tatkala melihat wajah arwah Nurbaya ketika itu.

“Sebelum bertolak ke Ipoh pagi semalam, dia ada membuat panggilan telefon dua kali kepada saya dan kali terakhir dia membuat panggilan video sekitar jam 7.30 pagi sebelum bertolak menaiki kereta api (ETS) di stesen kereta api Butterworth memandangkan dia bekerja di Pulau Pinang.

“Waktu kali terakhir menghubungi saya, arwah cakap nak tengok muka saya, dia asyik kata rindu pada saya dan saya hanya membalas dengan berkata 'minggu lepas dia baru balik ke Sungai Petani',” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Seroja, Sungai Layar, Sungai Petani, hari ini.

Jamilah berkata, hajat anaknya itu untuk melangsungkan majlis pertunangan pada Disember depan juga tidak kesampaian selepas arwah terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gombak untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

“Arwah ada merancang nak bertunang pada bulan 12 ini dan dia juga sudah membeli baju untuk majlis itu, tetapi apakan daya hajatnya itu tidak kesampaian.

“Hati saya luluh apabila mendapat tahu anak maut dalam kemalangan sekitar jam 6.30 petang semalam kerana arwah anak yang baik dan rapat, namun reda dengan takdir yang sudah tertulis,” katanya.

Sementara itu, jenazah Nurbaya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Majidi (Masjid Kuning), Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, pada jam 2 petang hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dengar bunyi dentuman kuat

4 maut nahas 6 kenderaan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 6:24 PM