Skip this ad x
Siraj Mohd Zaini


PEMBANTU makmal kolej vokasional dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Banting, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di kolej berkenaan, 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abdul ’Azhim Mohamad, 28, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Zaimah Mahmod, 57.

Perbuatan itu dilakukan di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, antara 1.30 tengah hari hingga 3 petang.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan 17 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia serta dokumen perubatan.

Media sebelum ini melaporkan mayat Zaimah ditemui di dalam stor di pejabatnya dengan kesan tikaman di leher dan badan selain turut dicekik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman dilaporkan berkata, polis menemui mayat berkenaan selepas menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan dia baru membunuh seorang wanita kerana sakit hati dengan sikap mangsa yang kerap menyindirnya mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerja.

Berita berkaitan

'Suspek tikam, cekik mati kerani direman'

[UPDATE] Suspek gelisah, tunduk kepala...

Tikam, cekik mati rakan sekerja akibat disindir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:45 AM
TERTUDUH dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya. FOTO Faiz Anuar