KELUARGA mangsa kekejaman tentera Zionis meratapi kematian ahli keluarga mereka dalam serangan udara berhampiran pusat bandar Gaza. Gambar kecil, Muhammad Nadir. FOTO EPA & NSTP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Serangan tentera rejim Israel terhadap penduduk Gaza adalah pelan strategik Zionis bersama negara sekutu mereka untuk ‘menghalau’ penduduk Islam secara halus.

Satu-satunya rakyat Malaysia yang berada di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, 31, berkata, serangan itu memang sengaja dilaksanakan dan ia sebenarnya mengikuti rancangan Zionis.

“Rancangan strategik mereka ini dikenali sebagai Perjanjian Abad Ini bertujuan menggalakkan penghijrahan penduduk dari Gaza.

“Negara sekutu Zionis ini juga sengaja membuka pintu sempadan manakala tentera rejim melaksanakan asakan dari udara supaya lebih ramai rakyat Gaza berputus asa dan mencari negara lain untuk berlindung.

“Kita akan lihat negara luar membuka peluang penduduk Gaza untuk diberikan perlindungan di negara tertentu, sekali gus diberikan taraf pemastautin,” katanya ketika dihubungi menerusi Facebook, semalam.


PENDUDUK Palestin berbaris untuk membeli minyak dan gas di Khan Younis utara Gaza. FOTO Reuters

Semalam, Muhammad Nadir memohon rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara Islam di negara berkenaan.

Sejak tiga hari lalu, tentera rejim melancarkan lebih 40 serangan udara ke beberapa kawasan di Gaza mengakibatkan dua remaja maut manakala beberapa lagi penduduk cedera.

Amir An-Namrah dan Luai Kuheil, masing-masing berusia 15 dan 16 tahun syahid dalam serangan udara di dilancarkan tentera rejim di Katibah, berhampiran pusat bandar Gaza.

Menceritakan situasi terkini di Gaza, Muhammad Nadir yang juga Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia berkata, serangan berkurangan memandangkan gencatan senjata dilaksanakan.

“Sudah ada gencatan senjata antara Hamas dan tentera rejim. Gencatan dapat dimeterai selepas Mesir menjadi negara perantara untuk menghentikan serangan berkenaan.

“Sepanjang tiga hari lalu, memang Hamas ada membuat tindakan balas kerana mereka sudah membuat ketetapan akan membalas setiap serangan dilancarkan tentera rejim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:56 AM