KIM Swee (kiri) harap pasukan beri pelepasan kepada pemain sertai persiapan Sukan Asia. FOTO Owee Ah Chun.
KIM Swee (kiri) harap pasukan beri pelepasan kepada pemain sertai persiapan Sukan Asia. FOTO Owee Ah Chun.
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) bakal berdepan ‘malapetaka’ apabila berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan andai terus dibelenggu kekusutan isu pelepasan pemain untuk kempen Piala Malaysia.

Situasi itu diakui jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal mengumpulkan pemain yang cukup.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan kempen Piala Malaysia.

“Kita kena faham... apabila saya menyenaraikan 24 pemain untuk dipanggil dan enam pemain dalam senarai sedia, hanya daripada 30 pemain ini yang saya boleh panggil.

“Jika kita tidak mempunyai cukup pemain kerana mengikut peraturan, sekurang-kurangnya 18 pemain dibenarkan secara minimum untuk ke Sukan Asia.

“Jadi, kalau kita tidak dapat mengumpulkan 18 pemain, ia bermakna kita harus menarik diri daripada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog Presiden FAM dan EXCO bersama penyokong bola sepak negara di ibu negara, semalam.

Justeru, Kim Swee mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan supaya dapat memberi pelepasan kepada pemain yang dipilih sambil menegaskan aksi bersama skuad negara adalah lebih mustahak.

“Saya harap semua pasukan memberi kerjasama dan yang penting adalah ia untuk kepentingan negara.

“Saya faham saingan Sukan Asia berlangsung serentak dengan Piala Malaysia namun ia hanya membabitkan beberapa perlawanan. Saya lihat tanpa beberapa pemain pun, semua pasukan masih mampu memberikan saingan cukup sengit,” katanya.

Terdahulu, apa yang dibimbangkan Kim Swee mungkin berulang apabila beliau dijangka berdepan masalah mendapatkan pemain terbaik mengharungi kempen Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

Meskipun senarai 24 pemain sudah diumumkan Rabu lalu bagi mengikuti latihan pusat bermula pada 30 Julai ini, namun tiada jaminan pemain berkenaan akan mendapat pelepasan dari pasukan masing-masing.

Ini berikutan pertembungan saingan Sukan Asia dengan Piala Malaysia yang turut akan bermula pada awal Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 3:37 AM