IBRAHIM menunjukkan borang perkahiwan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat selepas mengahwinkan pasangan budak 13 tahun dan 19 tahun. FOTO Sharifah Mahsinah Abdullah
Takbai (Selatan Thailand)

Isu perkahwinan rakyat Malaysia dengan budak 11 tahun warga Thai bulan lalu baru saja reda, kini timbul satu lagi perkahwinan budak bawah umur.

Walaupun kes terbaru antara budak perempuan 13 tahun dengan pemuda berusia 19 tahun itu juga menggunakan khidmat kadi dari Thailand, berita perkahwinan mereka tidak tersebar dalam media sosial seperti kes terdahulu kerana pasangan terbabit warga Malaysia.

Menurut kadi yang menikahkan mereka Ibrahim Husin, 67, majlis akad nikah pasangan itu diadakan di sebuah masjid di Kampung Pulau Nibong, dekat sini, pada 20 Jun lalu, dua hari selepas pasangan kontroversi pertama kahwin di Pekan Sungai Golok.

“Budak perempuan berusia 13 tahun itu dan pasangannya datang menemui saya bersama dua saksi dan seorang wali yang juga bapa saudara pengantin.

“Bapa saudara itu memaklumkan kepada saya bahawa gadis itu yang berasal dari Kelantan dan pemuda itu dari Terengganu ingin berkahwin dan beliau adalah wali mereka.

“Selepas saya meneliti segala dokumen berkaitan yang diserahkan kepada saya, saya bersetuju mengahwinkan mereka di Masjid Al-Uluwiah di sini, pada 20 Jun lalu,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Ibrahim berkata beliau telah memaklumkan kepada pasangan itu bahawa perkahwinan mereka akan didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat dan mereka juga perlu mendaftar perkahwinan dengan pihak berkuasa agama di Malaysia.

“Bagi saya, saya telah menjalankan tanggungjawab saya dengan betul. Mereka ingin berkahwin dan berdasarkan syariah, mereka boleh kahwin asalkan mereka ada wali sama ada bapa pengantin perempuan, adik lelaki atau saudara terdekatnya dan perempuan itu mestilah akil baligh,” kata pesara guru yang berpengalaman lebih 20 tahun menjadi kadi.

Bapa kepada empat anak itu berkata, perkahwinan membabitkan pasangan muda dan bawah umur dari Malaysia bukanlah kali pertama beliau lakukan.

“Sebelum ini, saya pernah mengahwinkan beberapa pasangan dari Malaysia termasuk budak berusia 12 tahun dan bawah 16 tahun tetapi perkahwinan mereka semuanya sah dari segi agama.

“Situasi begini biasa bagi saya dan penduduk Muslim lain di sini,” katanya.

Ibrahim berkata, terdapat 10 kadi di Jajahan Takbai yang dibenarkan Majlis Agama Islam Narathiwat untuk mengahwinkan pasangan termasuk mereka dari Malaysia.

“Saya percaya kes lelaki rakyat Malaysia berkahwin dengan budak 11 tahun warga Thai baru-baru ini tidak akan menghalang rakyat dari Malaysia untuk berkahwin di Selatan Thailand,” katanya.

Berkenaan kes peraih getah berusia 41 tahun yang mengahwini budak Thai itu, Ibrahim berkata, berita perkahwinan mereka tidak mengejutkan penduduk di sini.

“Seperti di Malaysia, berita itu tersebar dengan cepat di Thailand melalui media sosial terutama Facebook tetapi akhirnya berita itu senyap dengan sendirinya selepas kami dimaklumkan kes mereka telah selesai,” katanya.

Berita perkahwinan peraih getah itu dengan budak warga Thai jadi bualan hangat baru-baru ini, selepas isteri kedua lelaki itu memuat naik gambar perkahwinan suaminya dengan budak itu di Facebook.

Berikutan itu, peraih getah terbabit didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang dan dikenakan denda sebanyak RM1,800 kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Budak 11 tahun itu juga dipanggil oleh Majlis Agama Islam Narathiwat untuk diambil keterangan.

Pasangan itu berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor dekat Sungai Golok pada 18 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 8:54 AM