Hannah Delisha. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri

Rezeki adalah rahsia yang kita tidak dapat jangka bagaimana dan bila ia akan datang. Itulah apa yang dipegang pelakon dan penyanyi Hannah Delisha.

Dilahirkan dan dibesarkan di Singapura, dia tidak pernah menyangka rezekinya terbuka luas di bumi Malaysia.

Meskipun tawaran tidak pernah putus, Hanna enggan bersikap tamak dan lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Saya jenis yang fokus satu kerja. Dengan cara ini saya dapat berikan hasil kerja terbaik dan berkualiti,” katanya.

Menurut pelakon berusia 22 tahun itu, ramai penggiat seni mampu melakukan lebih daripada satu kerja dalam satu masa tetapi bukan dirinya.

“Sesetengah orang mampu melakukan banyak kerja dalam satu masa tetapi saya sebaliknya. Jika terbabit dalam penggambaran sesuatu drama, saya akan fokus drama itu saja.

“Susah untuk saya menjiwai karakter jika ada banyak komitmen dalam satu masa. Akan berlaku kecelaruan personaliti kalau satu karakter perlukan kita bermain dengan emosi manakala satu lagi perlu bawa karakter komedi,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seninya di Malaysia, Hannah bersyukur kerana kehadirannya diterima baik peminat.

“Pada awalnya, saya mahu kembangkan karier nyanyian, namun sudah tertulis rezeki saya dalam dunia lakonan dan saya terima dengan hati terbuka.

“Daripada situ, orang ramai mula nampak kemampuan saya dan kini bergelar duta untuk satu jenama telefon pintar terkenal. Itu pun rezeki untuk saya,” katanya.


Hannah Delisha. FOTO Aswadi Alias

Hannah yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer menegaskan tidak pernah terdetik di hatinya untuk bersaing dengan mana-mana artis.

“Kehadiran saya ke sini bukan untuk bersaing sebaliknya mahu mengembangkan bakat yang dikurniakan Allah SWT.

“Bagi saya, industri ini ruang untuk anak seni bekerjasama dan sama-sama bangkit memajukannya.

“Selagi ada permintaan, saya akan terus setia berkarya,” katanya.

Momentum drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer nampaknya diteruskan menerusi lakonannya dalam siri Alamat Cinta adaptasi drama popular Korea, Full House.

“Saya kini menjalani penggambaran drama Alamat Cinta. Walaupun ia karya adaptasi, bukanlan tiru 100 peratus sebaliknya disesuaikan dengan budaya Malaysia.

“Selain itu, saya juga akan menyanyikan lagu tema Alamat Cinta bersama penyanyi dari Brunei, Aziz Harun,” katanya.

Selain drama, Hannah tidak sabar menantikan tayangan filem pertama lakonannya, Langsuir yang akan ditayangkan menjelang September ini.

“Ini filem pertama saya dan tentunya sangat teruja bercampur gemuruh menantikan tayangannya.

“Saya sudah lakukan yang terbaik sepanjang penggambaran dan sutradara Osman Ali berpuas hati dengan kerja keras barisan pelakon,” katanya.

Selain Hannah, Langsuir turut dibintangi Syafiq Kyle, Firdaus Nadzaman dan Julia Farhana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 6:30 AM