KEADAAN Zakaria yang menerima rawatan di Royal Brisbane and Women's Hospital, Australia. Normahani menunjukkan surat pengesahan hospital berhubung rawatan suaminya (gambar kecil). FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


RAKYAT Malaysia yang kini menerima rawatan di sebuah hospital di Australia memerlukan dana kewangan bagi menampung kos rawatan yang kini mencecah AUD15,000 (RM45,000).

Zakaria Darus, 50, dari Taman Seroja, Sungai Layar, Sungai Petani, dimasukkan ke Royal Brisbane and Women's Hospital akibat serangan angin ahmar ketika mahu menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya, Farhan, 22, pada 18 Julai lalu.

Isterinya, Normahani Alli, 45, berkata Zakaria mula menunjukkan petanda apabila suaminya hampir terjatuh di dalam bilik air tetapi dia berjaya menahan badan lelaki itu.

“Kami berdua tiba di Gold Coast pada 17 Julai lalu, sebelum dijemput anak ke penginapannya di Toowong, Brisbane untuk menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Queensland pada keesokkannya.

“Sebenarnya suami memang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Dia kelihatan lemah sejak kami tiba di lapangan terbang sehingga hampir terjatuh di dalam bilik air di rumah anak,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, hari ini.

Normahani berkata, mereka memerlukan kira-kira AUD400 bersamaan sekitar RM1,200 sehari untuk kos rawatan suaminya di hospital berkenaan.

Katanya, dia dimaklumkan suaminya juga perlu dirawat kira-kira dua minggu lagi bagi memastikan keadaannya sudah stabil sebelum dibenarkan dibawa pulang ke Malaysia.

“Kami juga memerlukan kira-kira RM10,000 bagi kos penghantaran pulang suami.

“Setakat ini kami menggunakan duit simpanan yang ada untuk membiayai kos rawatan, memandangkan suami mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) ketika bekerja kilang pada April lalu.

“Bagaimanapun, simpanan kami semakin susut kerana turut menanggung empat lagi anak berusia 12 hingga 20 tahun yang masih belajar, dan saya pula hanya bekerja sebagai pembantu tadika dengan gaji RM500 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 102055484144 atas nama Normahani Alli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 5:19 PM