Skuad Khas Harian Metro

Songkhla (Thailand): Kegiatan penyeludupan rokok yang kini menguasai 60 peratus pasaran tempatan didalangi sindiket terancang yang dikesan mengaut keuntungan dianggarkan RM5 bilion setiap tahun.

Ini bermaksud setiap 10 kotak rokok yang dijual, enam adalah rokok seludup.

Langkah kerajaan menaikkan cukai eksais rokok sekaligus meningkatkan harga jualan rokok sah setiap tahun sebenarnya memberi keuntungan kepada sindiket kerana lebih empat juta perokok tegar terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan sederhana mula beralih kepada rokok seludup.

Buktinya, melalui rampasan rokok yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 2016 adalah sebanyak 1.6 bilion batang meningkat 2.5 bilion batang pada 2017 dan sehingga 6 Julai lalu, mencatatkan 754 juta batang.

Bayangkan kerugian akibat kegiatan penyeludupan rokok ini sebenarnya boleh digunakan untuk pembangunan negara seperti membina hospital dan sekolah atau setidak-tidaknya dimasukkan dalam Tabung Harapan Negara bagi membayar hutang negara.

Kegiatan penyeludupan rokok di negara ini dikesan didalangi beberapa nama besar atau taiko daripada kumpulan besar yang dikenali sebagai Pak Su, Mat Siam, Firdaus, Botak Chuan, Harun, Chandra, MD, Haron, Mat Yeh dan Pok Jusoh @ Yusof.

Senarai 10 Raja Penyeludup yang berjaya ‘melarikan’ berbilion ringgit cukai kerajaan itu memiliki kawasan dan negeri tertentu dengan dibantu ‘orang dalam’.

Semua mereka ini terbabit sama dalam aktiviti penyeludupan lain termasuk dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

Kumpulan ‘taiko’ ini sanggup melabur jutaan ringgit untuk merasuah sesiapa sahaja termasuk pihak berkuasa sama ada di sempadan atau yang berada di bilik berhawa dingin di pejabat.

Namun tidak semua anggota atau pegawai pihak berkuasa yang boleh dirasuah malah ada menolak perbuatan tidak bermoral itu.

Jika seseorang itu membeli rokok seludup sebenarnya mereka berkongsi ‘dosa’ kerana turut menyumbang kepada dana jenayah.

Walaupun nampak kecil tetapi jika membabitkan bilangan yang banyak, ia menjadi satu dana besar yang boleh membiayai apa saja kegiatan jenayah rentas sempadan.

Perokok tegar rokok seludup juga terdedah kepada isu kesihatan kerana kandungan dalam rokok berkenaan tidak pernah disahkan melalui ujian makmal.

Kebanyakan rokok diseludup kumpulan ini menggunakan jalan darat, laut, keretapi atau kapal terbang dari negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

Rokok John, Luffman, Canyon sebagai contoh dikilangkan di Batam, Indonesia tetapi diseludup ke negara ini dan Singapura oleh sindiket menggunakan bot pancung, kapal barter trade dan kontena. Terdapat juga jenama lain rokok putih yang dikilangkan di Kemboja, Filipina dan Vietnam sebelum diseludup ke negara ini melalui pelabuhan sah.

Penyeludupan rokok adalah cara paling lumayan untuk membiayai dana jenayah terancang dan aktiviti pengganas.

Malah, permintaan dan untungnya lebih tinggi serta denda kesalahannya agak rendah berbanding jika terbabit pengedaran dadah.

Malaysia adalah antara pengguna rokok seludup tertinggi antara 11 negara Asia.

Organisasi tersusun dan besar

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara organisasi terancang sindiket penyeludupan rokok beroperasi, wartawan Skuad Khas Harian Metro menemubual seorang Raja Seludup warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Sam.

Menurut Mr Sam, kegiatan penyeludupan rokok membabitkan organisasi tersusun, terancang dan berbahaya.

“Mereka (ahli sindiket) bukan sahaja terdiri daripada orang biasa, malah bekas anggota pasukan keselamatan atau masih masih bertugas turut bersekongkol,” dakwanya dalam satu temubual eksklusif di Hatyai, Thailand, baru-baru ini.

Mr Sam menjelaskan, organisasi mereka sangat tersusun dan membabitkan ramai individu serta peringkat seperti pengurus akaun, tonto, transporter, vendor dan orang dalam.

“Sebagai contoh Pak Su, rangkaiannya bukan saja di Malaysia sebaliknya juga di sini (Thailand).

Ditanya mengenai Pak Su yang kini dalam tahanan kerana membunuh, Mr Sam berkata, biarpun dalam tahanan, sindiket dikendalikan individu itu masih bermaharajalela.

“Pak Su masih menggerakkan anak buahnya. Tugas hakikinya kini diambil Pak Teh yang juga abang kandungnya dengan bantuan ratusan anak buahnya yang masih bebas. Pak Su seorang penyeludup yang sangat berkuasa selain amat dihormati musuh dan kawan,” katanya.

Dalam organisasi haram ini, tugas pengurus akaun adalah menjaga soal kewangan hasil urus niaga. Segala pembayaran atau rasuah dibuat melalui individu ini.

Beliau berkata, ‘orang dalam’ terdiri daripada bekas anggota pasukan keselamatan dan yang masih bertugas berperanan melepaskan barangan diseludup di sempadan selain melaporkan pergerakan jika ada operasi agensi penguatkuasaan.

“Transporter pula berperanan membawa rokok dari beberapa pelabuhan di Bangkok menggunakan kontena ke pusat bandar berhampiran sempadan Malaysia seperti Padang Besar, Hatyai dan Danok. Apabila berjaya melepasi sempadan Malaysia, transporter akan menggunakan kenderaan seperti lori dua tan dan van penumpang (didaftarkan di Malaysia) untuk menghantar rokok kepada vendor di kawasan yang dikuasai mereka,” katanya.

Katanya, bagi melicinkan operasi penyeludupan sindiket itu dibantu tonto.


KEMASUKAN rokok seludup melalui pengangkutan darat dan laut.

“Peranan tonto melaporkan pergerakan van atau lori digunakan untuk menyeludup dan pada masa sama mendedahkan setiap pergerakan pasukan keselamatan,” katanya memberitahu, rokok yang berjaya diseludup akan diserahkan kepada vendor untuk diagihkan kepada peruncit.

Tambahnya, semua sindiket terancang ada hirarki seperti organisasi seperti taiko Pak Su.

Selain Pak Su, beberapa dalang utama lain yang aktif di Kedah dan Perlis ialah Mat Siam dan Firdaus.

“Di Pulau Pinang, Botak Chuan yang dibebaskan tahun lalu dari penjara Thailand kembali aktif melakukan pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang negara.

“Manakala, di Perak, MD yang sebelum ini terkenal dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) juga aktif menyeludup rokok terutamanya di utara dan tengah Perak. Pintu masuk utama adalah di jeti haram Hutan Melintang yang juga digunakan untuk menyeludup migran Indonesia,” katanya.

Katanya, kawasan Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pula dikuasai oleh dua individu dikenali sebagai Harun dan Chandra yang menyeludup rokok dari Batam menggunakan bot pancung.

“Lokasi mereka ialah Tanjung Sepat dan sekitar Pelabuhan Klang.

“Di Johor, dalangnya adalah Haron yang bergiat aktif di jeti haram sekitar Kota Tinggi dan Pengerang. Manakala di Pantai Timur seperti Kelantan, kegiatan penyeludupan didalangi beberapa individu iaitu Pok Jusoh @ Yusof dan Mat Yeh. Kumpulan ini menyeludup rokok dari tiga pintu utama sempadan negara iaitu Sungai Golok, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubur.

“Mat Yeh sebelumnya adalah kumpulan tonto yang berperanan memberi iringan kepada kenderaan menyeludup rokok. Kini dia juga dilaporkan aktif melakukan penyeludupan rokok,’ katanya.

Penyeludup ganas

Kematian seorang pegawai Kastam, Anisah Ali, 54, di Pasir Mas,Kelantan pada awal Oktober 2016 selepas kenderaan jabatan dinaikinya bersama beberapa anggota lain dirempuh tonto ketika mengejar sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup dalam operasi membuktikan sindiket ini sanggup melakukan apa sahaja asalkan perniagaan haram mereka tidak diganggu.

Jika diganggu, tonto yang diupah sindiket mampu bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk membunuh. Sudah banyak kes, kereta anggota dan pegawai kastam dibakar atau dirosakkan.

Rumah mereka juga dibaling cat atau asid semata-mata bagi menakut-nakut pihak berkuasa agar tidak bertindak ke atas merela.

Ini belum lagi diugut dengan peluru dan kata-kata yang boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga seseorang pegawai atau anggota penguat kuasa itu.

Tindakan ganas mereka ini juga memaksa pihak berkuasa menggunakan senjata api sebagai langkah keselamatan jika diancam sindiket rokok ini.

Kawtim pihak berkuasa

Bagi memastikan aktiviti berjalan lancar tanpa gangguan, mereka akan menugaskan seseorang yang ada kenalan dalam kalangan pegawai tertinggi atau ketua dalam sesuatu organisasi agensi penguatkuasaan untuk melakukan ‘kawtim’ atau ‘tutup sebelah mata’ terhadap kegiatan yang mereka lakukan.

Kawtim yang dimaksudkan

Adalah bayaran tetap wang tunai secara bulanan mencecah ratusan ribu ringgit setiap bulan selagi operasi mereka berjalan.

Bermaksud selagi ada bulan dan bintang, selagi itu bayaran akan dibuat sekalipun pegawai tertentu itu sudah bertugas ke negeri lain atau bersara.

Bayaran ini dibuat secara tunai atau kredit terus ke dalam akaun. Jumlah bayaran bergantung kepada pangkat atau senioriti. Jika pangkat tinggi, habuan lebih tinggi.

Selain itu, terdapat juga pakej ‘enjoy’ disediakan kepada mereka. Pakej ‘enjoy’ atau berhibur itu berlaku setiap kali kunjungan anggota penguat kuasa ke Thailand (Danok/Hatyai), segala minuman, bilik karaoke dan wanita disediakan sindiket untuk mereka berhibur.

Paling berani, penyeludup boleh mendapatkan sticker ‘Cukai Sudah Dibayar’ yang perlu diletakkan pada setiap kotak rokok seludup dengan bayaran RM1 setiap satu dan segulung sticker itu mengandungi 3,000 keping. Hanya pihak berkuasa cukai yang memiliki sticker berkenaan iaitu JKDM. Tujuan bagi menunjukkan rokok yang dijual itu sudah dicukai sedangkan ia adalah sebaliknya.

Walaupun begitu, kerjasama antara agensi penguatkuasaan seperti JKDM, Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah dituntut dalam memastikan kegiatan penyeludupan dilakukan taiko besar ini dapat dihalang dan dikurangkan ke tahap paling minimum.

Bilakah Kerajaan baru akan memandang serius isu seludup dan secara aktif mengambil tindakan yang sewajarnya demi keselamatan dan kesejahteraan negara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:28 PM
PELANGGAN rokok seludup terdiri dalam kalangan individu berpendapatan rendah dan sederhana. FOTO NSTP