ANGGOTA polis mengambil keterangan pasangan berkenaan sebelum memberi amaran kepada mereka supaya berhati-hati membuat laporan. FOTO QSNB.com
Agensi

Beijing: Seorang lelaki yang ponteng kerja semata-mata mahu pulang ke rumah untuk bermain permainan video hampir ditangkap polis selepas isterinya menyangka suaminya itu adalah pencuri.

Akhbar Youth Times melaporkan, wanita dikenali sebagai Li menghubungi polis pada pagi Selasa lalu sejurus pulang ke rumah apabila mendapati pintu rumahnya dikunci dari dalam dan ada bunyi bising.

Beberapa anggota polis tiba di rumah wanita itu di Hangzhou di wilayah Zhejiang dan Li memberitahu, dia mengesyaki ada pencuri masuk ke rumahnya kerana ketika itu suaminya bekerja.

Apabila polis masuk ke rumah dan membuat pemeriksaan satu-satunya individu yang ditemui adalah suami wanita itu yang dikenali sebagai Ding, bersembunyi di dalam almari.

Satu rakaman video yang disiarkan pihak berkuasa menunjukkan anggota polis memeriksa rumah berkenaan.

Seorang anggota polis kemudian membuka almari baju dan menemui seorang lelaki bersembunyi di dalamnya.

SEDUTAN rakaman video menunjukkan lelaki itu ditemui bersembunyi di dalam almari pakaian. FOTO Weibo / Hangzhou Daily

“Keluar! Keluar!” kata anggota polis berkenaan yang bersedia menggari lelaki itu.

Menyedari lelaki itu adalah suaminya Li terus meminta maaf.

“Ini adalah suami saya,” kata Li.

Walaupun Ding berusaha menerangkan perkara sebenar, anggota polis berkenaan tidak berpuas hati dan meminta sijil perkahwinan pasangan itu untuk membuktikan hubungan mereka.

Lelaki itu kemudian meminta maaf dan memberitahu dia sengaja mengambil cuti sakit ketika di tempat kerja supaya dia boleh pulang ke rumah untuk bermain permainan video.

Katanya, dia tidak menyangka isterinya pulang ke rumah terlalu awal dan bersembunyi di dalam almari kerana bimbang dimarahi.

Selepas mendengar alasan lelaki itu, anggota polis berkenaan memaafkan pasangan terbabit dan menasihati mereka supaya berhati-hati sebelum membuat sebarang laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:49 AM