Syafiq Kyle terima panggilan mencurigakan daripada sindiket penipuan. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA sudah terkena dan berharap orang ramai terutama peminat lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon yang mencurigakan,” kata pelakon popular, Syafiq Kyle.

Dia berkata ketika diminta mengulas dakwaan dirinya yang menjadi mangsa sindiket penipuan wang haram menerusi panggilan telefon, Sabtu lalu.

Menurut pemilik nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, dia mengalami kerugian hampir RM40,000 dalam kejadian itu.

“Semuanya berlaku sangat pantas dan modus operandi yang dilakukan sindiket terbabit sangat menyakinkan.

“Mereka juga menyamar sebagai pihak bank dan meminta saya memasukkan wang ke akaun diberikan kononnya saya pernah melakukan kesalahan.

“Saya terus memasukkan wang diminta tanpa menyedari diri menjadi mangsa pihak terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama bersiri Nur itu berkata, dia juga membuat pendedahan itu bukan untuk meraih simpati orang ramai.

“Ia kali pertama saya ditipu pihak tidak bertanggungjawab sepanjang berkecimpung sebagai artis.

“Apapun, saya reda dengan apa berlaku kerana mungkin bukan rezeki saya,” katanya

Syafiq berkata, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Pihak polis memberitahu saya kes sedemikian semakin berleluasa dan membabitkan kerugian mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

“Sebagai selebriti, saya berasa terpanggil untuk membuat pendedahan ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama peminat supaya tidak menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 3:57 PM