SAZZY Falak. FOTO Saifullizan Tamadi.
Ramlah Zainal

Nama pelakon dan pengacara terkenal Sazzy Falak, 37, tidak perlu diperkenalkan lagi di persada hiburan tanah air.

Antara lakonannya yang masih diingati peminat hingga hari ini ialah filem yang pernah mencetuskan fenomena iaitu Gol & Gincu yang turut melonjakkan namanya pada 2005.

Selain itu, namanya juga dikenali di pentas antarabangsa selaku hos program How Do I Look? Asia musim pertama.

Namun, selepas berkahwin, membina keluarga dan sibuk dengan bisnes, Sazzy memperlahankan aktiviti seni.

Kini Sazzy kembali mengubat kerinduan peminat dengan filem terbaru berjudul Gol & Gincu 2 yang dijangka menjengah pawagam hujung tahun ini

Menurut Sazzy, dia sukar menolak tawaran untuk menjayakan filem itu kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Saya sangat merindui bidang lakonan. Tawaran berlakon dalam sekuel Gol & Gincu datang tepat pada masanya.

“Saya juga kembali dengan watak Sasha yang sudah sebati dengan diri sejak dulu.

“Sekuel filem ini tidak menampilkan pelakon asal seperti Fazura, Ashraf Sinclair dan Pierre Andre sebaliknya hanya saya serta Sharifah Amani yang masih dikekalkan,” katanya.

Walaupun sudah lama tidak berlakon, Sazzy mengakui dia tiada masalah menjiwai watak Sasha dalam sekuel filem Gol & Gincu 2 itu.

“Watak Sasha masih sama tetapi dia tidak nakal sangat. Apa yang menarik, wajah baru yang ditampilkan dalam filem ini iaitu Ummi Nazeera dan Diana Danielle.

“Pemilihan barisan pelakon juga dibuat menerusi proses uji bakat mengikut kesesuaian watak.

“Penggambaran filem ini selesai penghujung Februari lalu,” katanya.

Selain Gol & Gincu, Sazzy juga bakal terbabit dalam projek drama baru untuk saluran ntv7 tidak lama lagi.

“Saya terima tawaran ini kerana ia memaparkan kisah gelap. Ia mengenai pasangan suami isteri tetapi ada kelainan.

“Filem ini terbitan produksi milik pelakon Zizan Nin. Selain naskhah, pengarah dan kru produksi terbabit dalam drama ini juga berkualiti,” katanya.


SAZZY Falak. FOTO Saifullizan Tamadi.

Mengenai tawaran berlakon pula kata Sazzy, bukan tiada tawaran sebaliknya dia sangat memilih.

“Maklumlah, saya bermula di pentas teater. Saya berlakon bukan sebab bayaran sebaliknya mementingkan kepuasan dalam lakonan.

“Saya sukakan cabaran dan pastikan cerita dilakonkan ada mesej yang mahu disampaikan kepada penonton,” katanya.

Kali terakhir Sazzy berlakon adalah menerusi biopik telefilem Saloma tiga tahun lalu.

Selain itu filem pendek Piala Untuk Mama, Sepi dan Tolong Awek Aku Pontianak.

Hasil perkongsian hidup dengan perunding kewangan Nazril Idrus, Sazzy memiliki dua anak kembar, Tiara Rose dan Iman Lily, 7.

Program amal Celepets

Sebagai selebriti terkenal, Sazzy tidak pernah lupa dengan tanggung jawab sosial terhadap masyarakat.

Sazzy dan enam lagi rakan selebriti tempatan iaitu Atilia Haron, Dynas Mokhtar, Yasmin Hani, Daphne Iking, Aishah Sinclair dan Serena C menubuhkan Celepets iaitu ‘Celebrities with Pet Projects’ untuk membantu golongan memerlukan.

Menurut Sazzy, Celepets aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan pada Ramadan sejak lapan tahun lalu.

“Tahun ini, kami membantu hampir 24 keluarga yang juga ibu tunggal dan individu kurang berkemampuan berbuka puasa bersama menerusi Malam Amal & Iftar Bersama Celepets.

“Acara itu berlangsung di Coffee Bay, Sunway Nexis, Petaling Jaya pada Ramadan lalu,” katanya.

Sazzy berkata, hatinya tersentuh melihat ibu tunggal yang sendirian membesarkan anak tanpa suami.

“Terus terang, saya sangat bersyukur kerana mempunyai suami, keluarga dan rakan yang sentiasa ada di saat memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 9:20 AM