KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


TIGA sekeluarga maut, manakala seorang parah selepas Perodua Viva dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di Felda Sungai Sayong di Kota Tinggi, pagi tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Salihen Othman, 66, isterinya, Asnah Jalani, 82, serta adik kepada Asnah, Zarah Jalani, 72.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Shahrul Nizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori pasir berkenaan dalam perjalanan dari arah Bandar Tenggara ke Felda Bukit Besar.

Beliau berkata, Perodua Viva berkenaan dari arah bertentangan sebelum bertembung di lokasi kejadian.

“Tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang juga penumpang hadapan dan belakang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta iaitu seorang lelaki parah dalam kemalangan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dari kereta itu.

"Pemandu lori pasir tidak cedera dan semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 2:38 PM