Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PERMINTAAN pengacara, Allahyarham Mahadzir Lokman untuk disemadikan di sebelah pusara ibunya, akhirnya menjadi kenyataan apabila jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat Kuala Lumpur, jam 10.10 pagi tadi.

Menurut adik bongsunya, Ida Neliaty Lokman, 57, Mahadzir sangat rapat dengan arwah ibu mereka, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 2013.

“Arwah abang saya sangat rapat dengan arwah ibu kami. Dia yang menjaga arwah sehinggalah arwah meninggal dunia.

“Saya rasa, ramai sedia maklum mengenai hubungan rapat dia dengan ibu. Kalau boleh, semua tempat atau acara yang dia pergi, dia akan bawa ibu bersama," katanya kepada Harian Metro.

Ida juga berkongsi duka atas pemergian abangnya dan akan sentiasa mengingati kenangan bersama arwah.

“Dia adalah abang dan pendengar yang sangat baik. Dia juga sering menasihati saya dalam banyak hal.

“Semalam, selepas tiba di rumah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya lalu di biliknya dan ternampak jaket kesayangan yang dia selalu pakai.

“Pada ketika, tiba-tiba ada perasaan sayu muncul. Banyak saat indah yang mungkin saya akan ingat lagi selepas ini,” katanya.


IDA Neliaty menyiram air di kubur Mahadzir. FOTO Eizairi Shamsudin

Tambah Ida lagi, abangnya sentiasa menjadi penyokong utama kerjaya dan kehidupannya.

“Saya terbabit dalam bidang fesyen. Jadi, dia antara penyokong utama saya dan rakan kami pun dalam kalangan orang yang sama.

“Selain itu, saya dan dia juga sering bekerjasama dalam beberapa acara berkaitan fesyen dan sebagainya," katanya.

Kali terakhir Ida bertemu dengan Mahadzir adalah beberapa hari lalu sebelum dia ke Sabah.

“Saya bertemu dengannya sebelum dia berangkat ke Sabah pada 31 Julai lalu. Dia nampak tenang dan sempat berpesan kepada saya untuk menjaga diri dan fokus dalam apa jua yang saya lakukan.

“Pada masa sama, dia sedih juga sebenarnya sebab cucu angkat kesayangannya berangkat pulang ke Indonesia selepas Aidilfitri lalu,” katanya.

Ida menerima berita kematian abangnya pada jam 10 pagi semalam selepas dimaklumkan seorang rakannya.

Jenazah Mahadzir, 61, tiba ke kediamannya di Petaling Jaya jam 2 pagi tadi dan disembahyangkan di Masjid Kolej Islam Malaya.

Antara artis yang hadir ke majlis pengebumiannya adalah Amy Search, Datuk DJ Dave, Farouk Hussein dan Sheera Iskandar.

Berita berkaitan

Mahadzir selamat dikebumikan

[UPDATE] Bawa pulang jenazah malam ini, kebumi esok

'Abang Dale pemurah, penyayang - Ezzah Aziz'

'[UPDATE] 'Selamat pagi' terakhir dari Mahadzir'

'[UPDATE] 'Sedih sangat''

'Mahadzir Lokman sudah tiada'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:09 PM