HUNNY Madu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected] hmetro.com.my

Bergelar artis sememangnya memerlukan kecekalan dan kekuatan hati kerana kadang-kadang apa yang dilakukan sukar diterima sepenuhnya oleh peminat.

Inilah yang dilalui bekas penyampai radio, Hani Farhana Mohd Hatim atau Hunny Madu, 34, apabila beralih arah kepada bidang nyanyian dan memperjuangkan irama hip hop.

Ramai yang memandang sinis terhadapnya sebagai sebagai penyanyi rap wanita, lebih-lebih lagi apabila menyampaikan lagu dalam bahasa bercampur aduk Melayu-Inggeris atau popular dengan istilah bahasa rojak.

“Saya sedar pelbagai kenyataan dikeluarkan mengenai nyanyian saya kononnya terlalu ‘urban’ dan hanya disukai golongan peminat tertentu.

“Sebagai penyanyi, saya pasti berdepan dengan pelbagai respons sama ada yang suka atau tidak berkenaan karya saya. Jadi, saya tak boleh terlalu terpengaruh kerana bimbang nanti idea dan karya saya tak berkembang.

“Saya sebenarnya ikhlas menulis dan menghasilkan lagu kerana ia diangkat daripada apa yang berlaku di sekeliling,” katanya.

Hunny yang popular dengan lagu Go Hard Or Gostan berkata, bahasa rojak sebenarnya sudah sinonim dengan rakyat negara ini dan tak salah jika dia cuba mempraktikkan budaya ini dalam bentuk lagu pula.

“Kombinasi bahasa Malaysia dan Inggeris bukanlah masalah besar. Ramai orang buat begini ketika bertutur termasuk saya. Saya cuma menjadi diri sendiri dan mengaplikasikan rutin ini dalam lagu.

“Selepas ini saya akan tampil dengan single terbaru berjudul TYVM (Thank You Very Much) hasil karya saya sendiri.

“Ia berkonsep lagu rakyat dan ada unsur sindiran kepada segelintir pihak. Kelainannya tajuk dalam bahasa Inggeris tapi keseluruhan liriknya dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Hunny berkata, dia seorang yang positif dan tidak pernah menganggap sesuatu yang berlaku sebagai masalah besar.

“Saya akui suka mendengar lagu TYVM ini. Kita kena syok sendiri dengar lagu dulu dan kalau orang tak terima pada saya ia bukanlah masalah. Itu mungkin bergantung pada cita rasa mereka.

“Saya tak boleh paksa semua orang terima hasil karya saya. Cuma saya harap kalau mereka tak terima lagu ini pada masa sekarang atau pada tahun seterusnya, mungkin 10 atau 20 tahun lagi mereka boleh menerimanya dan jadi revolusi pada masa ini.

“Tahun 2018 mungkin tak dipandang, tapi pada 2028 lagu ini mungkin mencetuskan kekaguman kepada peminat. Pada saya kalau lagu itu sedap, ia memang sedap dan ia tak ambil kira bahasa atau apa saja. Begitu juga kalau lagu itu tak sedap dan hakikatnya memang tak sedaplah kalau buat apa pun,” katanya.

Mengambil contoh, Hunny berkata, lagu Go Hard Or Gostan dinyanyikannya bersama Kayda menggunakan bahasa rojak tapi lagu ini dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22) dan bersaing dengan genre lain termasuk balada.

“Kita dapat lihat rakyat Malaysia mula menerima lagu sebegini untuk dimasukkan dalam anugerah yang diadakan. Tak timbul soal karya atau lagu rojak tak dipandang dalam mana-mana anugerah di Malaysia.

“Hip hop bukanlah genre yang sudah lama bertapak dalam industri seni tanah air. Ia diperkenalkan oleh Too Phat kira-kira 15 tahun lalu.

“Saya antara penyanyi wanita terawal untuk genre ini dan persepsi berkenaan rapper wanita perlu diubah.

“Memang saya sering diajukan dengan soalan rapper wanita nampak kasar dan pelbagai imej negatif lagi tapi kita masih boleh jadi rapper yang ada kelas dan intelektual,” katanya yang bersyukur mempunyai ramai kawan yang membantu dalam genre ini.

Dalam pada itu, Hunny berkata, anaknya Eva Madina, 6, turut menjadi inspirasi buatnya untuk terus tampil dengan genre ini.

“Dia pun semangat nak beraksi di atas pentas. Sama ada saya beri galakan atau tak, memang saya nampak dia akan masuk dalam industri hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 9:49 AM