POLIS kini menyiasat kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan, 47, dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya pada 14 Jun lalu sebagai kes bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan laporan daripada pihak bomba, pihaknya membuka semula kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd yang maut dalam kebakaran pada 14 Jun lalu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh, Jumaat lalu.

“Ini dibuat berdasarkan laporan (forensik) bomba dan keputusan bedah siasat yang diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam tragedi jam 12.20 tengah hari itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya selepas terperangkap dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat terbabit.

Syarikat terbabit dalam kenyataan sehari selepas kejadian mengesahkan laporan bedah siasat kematian Nazrin berpunca daripada letupan telefon pintar.

Hasil siasatan mendapati tubuh mangsa mempunyai pelbagai komplikasi kecederaan akibat letupan gajet itu yang dicas bersebelahannya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Maut akibat letupan telefon pintar

'Telefon meletup masa dicas..'

CEO maut dalam rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 9:21 PM