JKM memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris Hairie Ismail. FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass


TIDAK seperti remaja seusianya yang sibuk dengan pelbagai aktiviti di sekolah dan pembelajaran, Hairie Ismail, 13, pula keliru dengan masa depannya.

Remaja lelaki berkenaan yang berasal dari Lahad Datu, Sabah tinggal bergelandangan selama seminggu di kawasan berhampiran restoran makanan segera di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru sebelum diselamatkan polis pada 2 Ogos lalu.

Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Zaid Ikhwan berkata, remaja berkenaan dipercayai mangsa pengabaian ahli keluarga.

Beliau berkata, mengikut maklumat diperoleh, Hairie ke negeri ini bersama bapanya sebelum ditinggalkan bersama abangnya beberapa bulan lalu.

Menurutnya, bagaimanapun berlaku pengabaian dalam soal kebajikan dan perlindungan bagi remaja berkenaan apabila abangnya menghilangkan diri.

Katanya, sebelum ini Hairie tinggal bersama abang kandung di bilik sewa di Taman Rinting, namun abang kandungnya meninggalkan remaja itu tanpa sebarang pesanan.

"Remaja berkenaan memaklumkan ibu bapanya berasal dari Sabah, namun dia tidak mampu memberi alamat dan nombor telefon yang lengkap.

"Hasil maklumat orang ramai, polis menyelamat remaja berkenaan sebelum merujuknya ke JKM.

"Sepanjang remaja berkenaan berada di institusi JKM tiada sebarang tuntutan daripada mana-mana warisnya," katanya.

Zaid berkata, remaja berkenaan menyatakan dia pernah bersekolah di Lahad Datu dan ke negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, remaja berkenaan menyatakan abangnya dikenali sebagai Sulaiman, manakala nama bapanya, Ismail.

"Dia menyatakan dihalau oleh pemilik bilik sewa kerana tidak membayar sewa bilik hingga hilang tempat tinggal dan menggunakan kemudahan di surau berhampiran.

"Dia masih dalam keadaan tertekan hingga tidak mampu memberi maklumat lengkap termasuk berkaitan ibunya. Hairie menyatakan dia sudah memiliki dokumen pengenalan diri, namun ia disimpan oleh abang kandungnya.

"Hairie merindui ibu bapanya dan kami berharap orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan warisnya diminta menghubungi talian 07-2232606 bagi membolehkan JKM membincangkan masa depannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 3:10 PM