JASPER Supayah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


Walaupun coretan kembara seninya baru dua tahun dilakar, pelakon meningkat naik, Jasper Supayah, 25, enggan dipalit cerita sensasi dengan mudah.

Gadis kacukan India dan Cina ini tidak mahu ambil mudah setiap perkara termasuk soal gaya dan penampilan diri.

Namun begitu, Jasper tidak menolak untuk tampil dengan gaya ‘seksi manja’ ketika sesi fotografi bersama RAP, baru-baru ini.

Mengulas definisi seksi pada pandangannya, pelakon drama Sejuta Rasa Buat Adelia ini berkata, ia sesuatu yang subjektif.

“Bergantung kepada persepsi seseorang. Bagi saya, tidak perlu sebenarnya untuk tampil seksi bagi menarik perhatian. Cukuplah pakaian itu selesa dipakai.

“Seperti yang saya gayakan untuk sesi fotografi ini, ia tidaklah begitu seksi hingga boleh mengeksploitasi diri. Pada saya, masih lagi berpada-pada.

“Bagaimanapun, saya tak nafikan tampil dengan gaya seksi juga boleh membantu seseorang selebriti meraih publisiti diinginkan, tetapi itu bukan saya,” katanya.

Menurut Jasper, dia seorang yang ringkas dalam fesyen hariannya.

Katanya, dia selesa tampil memakai baju-T, seluar jean dan ‘sneakers’.

Bersikap terbuka membicarakan pilihan fesyen sebenar dirinya, Jasper berkata, dia seorang yang mengikut ‘mood’ dan kebiasaannya pasti berubah-ubah.

“Setakat ini, nampaknya saya masih belum terikut dengan cara orang lain berfesyen kerana selesa ‘taste’ sendiri yang tidak begitu keterlauan.

“Penting untuk menjaga maruah diri, ibu bapa dan keluarga. Oleh itu, biarlah saya dinilai masyarakat di luar melalui bakat seni dan bukan imej fesyen yang seksi,” katanya.

Mengulas juga perkembangan kerjaya lakonannya, Jasper berkata, watak Kayla dibintangi dalam drama Sejuta Rasa Buat Adelia dilihat berjaya membantu nama dan bakatnya dikenali penonton.

Jelasnya, watak itu cukup meninggalkan kesan dan impak besar buatnya kerana ke mana saja dia pergi pasti disapa dengan nama Kayla.

“Apa yang boleh dikata, hanya rasa syukur tidak terhingga kerana kemunculan saya dalam industri hiburan yang didominasi artis Melayu ini diterima baik.

“Saya pun masih baru dan banyak perkara perlu dipelajari lagi. Apa yang pasti, saya seronok menceburi karier seni ini.

“Biarpun diakui bukan mudah untuk saya menempatkan diri pada mulanya, tetapi usaha sentiasa diteruskan. Saya takkan cepat putus asa.

“Kejayaan tidak datang bergolek dengan hanya merungut sebab penat saja. Pada saya, penat memang penat, tetapi kena teruskan kerana sudah minat.

“Jadi, selagi mendapat peluang saya akan gunakan sebaik mungkin untuk menimba ilmu dan kumpul pengalaman ke arah yang lebih baik dalam karier,” katanya.

Berasal dari Johor, Jasper berkata, dia teruja untuk membintangi drama terbaru 40 episod membabitkan kerjasama dua hala Malaysia dan Pakistan tidak lama lagi.

Sehubungan itu, antara drama dan telefilem dibintangi Jasper ialah Semusim Rindu, Cruise Cinta Lebaran, Orang London Balik Kampung, Akhir Nanti dan Oh! My English Reunion.


JASPER Supayah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Berdebar tunggu Polis Evo 2

Menganggap 2018 membawa sinar gemilang buat dirinya, Jasper akui dia teruja dan berdebar menunggu tayangan filem Polis Evo 2 di pawagam pada November nanti.

Menurut Jasper, dia satu-satunya pelakon kerdil yang dibayangi barisan nama besar dan dikenali ramai dalam filem aksi terhebat itu.

“Saya teruja kerana Polis Evo 2 bukan calang-calang karya yang memberi ruang kepada saya beraksi dengan barisan pelakon berbakat tanah air.

“Saya berdebar kerana tidak tahu bagaimanakah nanti penerimaan penonton filem itu terhadap lakonan yang saya persembahkan?

“Harapan saya semoga filem ini akan berjaya mencatat kutipan pecah panggung di pawagam nanti.

“Malah, semoga lakonan saya yang masih baru dan hijau ini akan diterima, sekali gus membantu kejayaan filem Polis Evo 2,” katanya.

Mengulas juga mengenai bidang nyanyian, Jasper berkata, minatnya untuk dikenali sebagai penyanyi masih tebal dan tidak pudar.

“Kini, saya dalam perancangan untuk muncul dengan single solo pertama. Saya impikan hujung tahun ini, single itu sudah dirakam.

“Bagaimanapun, saya akan pastikan tidak terburu-buru kerana inginkan karya lagu yang berkualiti termasuk sesuai vokal dan genre lagunya.

“Buat masa ini, masih dalam proses pencarian dan penilaian lagu sesuai kerana persaingan bidang muzik kini pun agak sengit dalam kalangan ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU),” katanya.

Ditanya juga mengenai kisah peribadinya, Jasper berkata, sekarang dia mahu fokus pada membina karjaya lebih dulu kerana nama belum kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:16 AM