SINDIKET menaikkan dron dan memantau pergerakan keluar masuk pasukan keselamatan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim

Melaka: Kartel rokok seludup kini dikesan semakin canggih, malah menggunakan teknologi kamera berkuasa tinggi yang dipasang pada dron untuk mengawasi pergerakan pihak berkuasa keluar ke laut menjalankan operasi atau rondaan biasa.

Mereka ini terlatih dan mahir dalam mengendalikan dron berteknologi tinggi berkenaan berbanding menggunakan tonto atau geng ‘sapu air’ yang dianggap boleh dihidu kehadirannya oleh penguat kuasa.

Untuk rekod, sindiket ini biasanya terbabit dalam penyeludupan rokok menggunakan bot pancung di laut bagi memantau pergerakan pasukan keselamatan seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut sumber, penggunaan teknologi seperti dron mula digunakan sindiket sejak Januari lalu.

“Sindiket mula guna teknologi ini di beberapa kawasan berdekatan pangkalan pasukan keselamatan seperti PPM dan APMM. Mereka menaikkan dron dan memantau pergerakan keluar masuk pasukan keselamatan.

“Mereka (sindiket) sering menggunakannya (dron) di kawasan hutan berhampiran pangkalan pasukan keselamatan,” katanya.


ANGGOTA Maritim dalam Operasi Khas di Kuala Linggi. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Perkara itu turut diakui Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Melaka, Asisten Superintendan Steel Entai yang berkata, risikan pihaknya juga mendapati wujud penggunaan dron oleh sindiket.

“Pasukan risikan kami mengesan penggunaannya di kawasan Teluk Kemang, Klebang dan sekitar Port Dickson,” katanya di Markas Taktikal PPM Wilayah Dua, di sini.

Menurutnya, pihaknya mengakui penggunaan dron itu juga kini menjadi ancaman terbaru pihaknya selain tonto dan sapu air.

“Kami tidak pernah berkompromi dengan sebarang anasir yang mengganggu gugat keselamatan negara. Kami sedia perkukuhkan risikan dalam membanteras penyeludupan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sembilan/Melaka Kepten Maritim Amran Daud berkata, beliau percaya ada kemungkinan penggunaan dron oleh sindiket.

“Biarpun sehingga kini tiada maklumat mengenainya (penggunaan dron), saya yakin sindiket mencuba pelbagai kaedah termasuk menggunakan dron.

“Ini kerana mereka (sindiket) sentiasa cuba mengatasi pasukan keselamatan. Saya juga meminta pasukan risikan mengumpulkan maklumat mengenainya.

“Jika terbukti, kami sedia mendapatkan nasihat pakar undang-undang terlebih dulu sebelum melakukan tindakan seterusnya,” katanya.


ANGGOTA PPM memeriksa bot nelayan yang ditahan. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:46 AM