PESAWAT peribadi dipercayai milik Jho Low yang bakal dibawa pulang ke Malaysia.
Fahmy Azril Rosli


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia sedang berbincang dengan Singapura untuk membawa pulang jet peribadi yang didakwa milik jutawan kontroversi, Jho Low.

Dipercayai, jet jenis Bombardier Global 5000 berharga AS$30 juta itu mengunakan duit dipercayai dicuri daripada syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir berkata, ada pihak dalam kerajaan yang sedang menguruskan 'operasi' membawa pulang aset yang dibeli menggunakan duit 1MDB dari Singapura.

“Ya, saya fikir begitu (bawa pulang jet). Kita mesti bawa pulang semula.

“Saya tidak tahu siapa. Ada pihak (dalam kerajaan) sedang menguruskan hal itu. Tetapi memang kita sedang berusaha untuk memperoleh semula wang yang dicuri daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan ke pameran lukisan - Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri memberi amaran bahawa kerajaan tahu siapa pihak yang menyeleweng wang 1MDB.

Namun, beliau berkata, masalahnya ketika ini adalah kerajaan masih belum dapat memastikan di mana 'dalang' dan aset berkenaan berada secara spesifik.

“Semua itu akan terungkai bergantung kepada bukti yang diperolehi bahawa wang aset itu kepunyaan kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai kenyataan Jho Low mendakwa kerajaan Malaysia yang 'mempergunakan' Amerika Syarikat untuk membawa pulang kapal mewah Equanimity ke pelabuhan negara.

Dr Mahathir meminta Jho Low bertanya kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat adakah beliau 'mengawal' mereka untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau makluman.

“Anda (Jho Low) boleh tanya pihak berkuasa Amerika Syarikat sama ada saya yang menyiapkan skrip, susun perkataan untuk digunakan dan sumbat dalam mulut mereka untuk bercakap. Dia patut terima (penahanan kapal layar Equanimity)

“Saya amat berbangga jika dapat sumbat mulut kerajaan Amerika Syarikat. Saya pasti lebih hebat daripada (Donald) Trump (Presiden Amerika Syarikat),” sindirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 1:19 PM