AHLI keluarga mangsa. Gambar kecil (Muhammad Nor Hafiz). FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini
cnews@nstp.com.my

“SAYA dah larang jangan mandi sungai, bahaya air pasang waktu pagi tapi arwah tetap pergi bersama rakannya,” kata Muhammad Nor Haris Norizam, 13, abang kepada Muhammad Nor Hafiz Norizam, 12, mangsa lemas di sungai berhampiran Boardwalk di Pengkalan Gelap, Setiu, semalam.

Nor Haris, 13, sempat berpesan kepada adiknya sebelum murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Saujana itu keluar rumah dengan bersama tiga lagi rakannya.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa baru selesai mandi sungai bersama rakannya dan ingin kembali ke daratan dengan mengharungi sungai yang sebelum itu cetek, kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Namun ketika cuba menyeberang sungai mereka dihanyutkan arus deras dan sempat berpaut antara satu sama lain sebelum mangsa terlepas dari pautan itu.

“Hafiz jarang ke sungai dan hanya sesekali sahaja mengikut saya, jika pergi pun dia jarang mahu turun mandi sungai.

“Tetapi, semalam saya tidak pergi dan dia ingin membawa beberapa kawan yang baru berpindah ke sini untuk pergi mencari lokan di sungai itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu, hari ini.

Bapa arwah, Norizam Nasir, 43, berkata, sewaktu kejadian dia serta isteri keluar bekerja dan hanya mengetahui kemalangan itu kira-kira jam 2 petang semalam.

“Malam sebelum kejadian saya dah pesan pada arwah jangan keluar ke mana-mana sepanjang kami tiada di rumah.

“Sebelum ini pun, arwah lebih suka berada di rumah dari keluar bersama rakan dan jarang pergi sendiri ke kawasan jauh dari rumah berbeza dengan Nor Haris yang lebih suka keluar terutamanya mandi sungai,” katanya.

Dia berkata, arwah anak ketiga dari empat beradik dan seorang yang agak pendiam serta bercakap apa yang perlu sahaja.

“Kami tidak sempat melihat arwah menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mayat Muhammad Nor Hafiz Norizam, 12, ditemui bapa saudaranya ketika memanjat pokok berhampiran sungai dalam usaha mencari anak saudaranya kira-kira jam 7.30 pagi.

“Semasa memanjat pokok, dia ternampak mayat mangsa timbul ke permukaan kira-kira 650 meter dari lokasi tempat terakhir dilihat dan bertindak memaklumkan kepada pihak bomba,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula petang semalam ditamatkan pada jam 8.40 pagi.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Fikri Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 4:59 PM