MAMAT (enam dari kiri) bersama barisan pelakon. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


SELEPAS empat hari tayangannya bermula 9 Ogos lalu, bagai dijangka filem genre komedi seram Hantu Kak Limah (HKL) arahan pengarah terkenal Mamat Khalid berjaya mencecah kutipan RM6.45 juta.

Selaku pengarahnya, Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Khalid, 55, mengakui sangat bersyukur kerana filem terbarunya itu mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem tempatan.

“Alhamdulillah, saya juga sangat gembira kerana HKL turut memegang rekod filem pecah panggung dengan tayangan pembukaan meraih kutipan RM1.8 juta.

“Saya juga mendapat maklum balas daripada semua peminat yang memberitahu filem ini sangat menghiburkan untuk seisi keluarga,” katanya kepada RAP.

Mengenai sasaran pula, Mamat berkata dia tidak mahu meletakkan sebarang sasaran dari segi kutipan kerana lebih suka penonton menilai sendiri hasil karyanya itu di pawagam.

“Saya sangat berharap lebih ramai peminat akan menonton filem HKL di pawagam berhampiran sebelum tempoh tayangan berakhir,” katanya.

HKL adalah francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Mengenai kekuatan HKL, kata Mamat, naskhah itu sangat berbeza daripada karya yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Biasanya, apabila menghasilkan filem francais, saya sering menyelitkan pelbagai mesej dan unsur satira.

“Mungkin ada yang menganggap naskhah kali ini jalan ceritanya lebih ringan berbandingnya.

“Hakikatnya, kali ini saya hanya mahu melihat penonton bergelak ketawa dan terhibur bersama keluarga tanpa perlu berfikir apa-apa.

“Terus terang, sudah lama saya tidak berasa situasi sebegini di pawagam,” katanya.

Menurut Mamat, sambutan hangat terhadap HKL turut menyuntik semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik pada setiap karya dihasilkan.

“Semoga peminat mendoakan tahap kesihatan saya semakin bertambah baik ketika ini.

“Makumlah, saya masih menjalani rawatan di hospital untuk penyakit jantung dan doktor sering mengingatkan supaya tidak berada dalam tekanan,” katanya.

Tahun lalu Mamat pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital kerana penyakit jantung.

Filem HKL turut menampilkan barisan pelakon antaranya Datuk Awie, Delimawati, Allahyarham Rab Khalid, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.-Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 6:00 AM