GAMBAR hiasan
BERNAMA

DUA pekerja kilang ais maut, manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis itu di Seksyen 36, Shah Alam, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, dalam kejadian jam 5.11 pagi, kedua-dua mangsa yang warga asing belum dikenal pasti identiti, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sementara 18 pekerja warga asing yang cedera dihantar ke beberapa hospital iaitu lima di HTAR, Hospital Shah Alam (enam), Hospital Sungai Buloh (tiga) dan Hospital Banting (empat) bagi menerima rawatan.

“Kedua-dua pekerja yang maut itu dipercaya terhidu terus dengan gas ammonia yang bocor dari tangki simpanan bahan ammonia ketika mereka melakukan kerja rutin.

“Manakala pekerja lain yang cedera mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pedih mata kerana kandungan gas ammonia tinggi bacaannya iaitu 500 ppm (parts per million) berbanding bacaan normal iaitu 50 ppm ke bawah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmel berkata, pihaknya juga mengambil langkah mengarahkan penduduk di kawasan perumahan sekitar keluar dari premis masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kandungan gas ammonia yang tinggi dan sehingga kini tiada aduan diterima daripada penduduk terbabit.

Menurutnya, setakat ini pihaknya berjaya mengurangkan kuantiti kebocoran gas ammonia kepada separuh iaitu 250 ppm di dalam kilang berkenaan manakala kualiti udara di luar kilang sudah kembali normal.

“Operasi masih dijalankan untuk meneutralkan bacaan gas ammonia di dalam kilang menggunakan beberapa kaedah seperti membuka semua pintu dan tingkap kilang bagi mengeluarkan gas, menggunakan kipas ekzos kilang dan di depan selain menggunakan kaedah semburan air halus.

“Setakat ini tiada mangsa lain yang berada di dalam kilang kerana pekerja lain berjaya keluar dari premis berkenaan, namun jumlah sebenar pekerja ketika kejadian masih dalam siasatan,” katanya menambah kejadian itu adalah yang kedua berlaku di kilang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:42 AM