Nur Saliawati Salberi


DUA wanita yang juga tenaga pengajar pusat jagaan ditahan selepas dipercayai mengasari kanak-kanak di premis itu dalam kejadian akhir bulan lalu.

Perbuatan dua wanita itu terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang bertajuk 'Cawangan MITC Melaka tolong viralkan penderaan sering berlaku di tempat ini' tular di laman sosial.

Selain rakaman CCTV berdurasi 37 saat, turut tular rakaman telefon dipercayai dirakam bekas pekerja premis itu berdurasi sembilan saat.

Dalam video itu, seorang pengasuh dilihat bertindak menampar dan menolak seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh daripada kerusi sebelum bertindak menampar pipi seorang lagi kanak-kanak lelaki.

Selain itu, dalam video berasingan, seorang kanak-kanak perempuan diambil dan diletakkan di belakang kanak-kanak lelaki yang menangis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya menerima maklumat sebaik pemilik pusat jagaan berusia 40 tahun membuat laporan pada Sabtu lalu.

Katanya, dua pengasuh itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang untuk diambil keterangan pada hari sama.

“Mereka berusia 21 dan 40 tahun direman sehari sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan.

“Pengadu dikatakan membuat laporan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pekerjanya kerana mengasari kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 6:43 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan tenaga pengajar memukul kanak-kanak dari sebuah pusat jagaan. Foto STR/ MUHAMAMD ZUHAIRI ZUBER