MOHAMAD Nor merawat cucu angkatnya Muhammad Adam Mikail Abdullah yang menghidap Cerebral Palsy (CP) atau lumpuh otak sejak berusia lapan bulan. Foto STR/ZAIREE MOHD YASAK
Zairee Mohd Yasak


IBARAT jatuh ditimpa tangga. Itulah keadaan menimpa Muhammad Adam Mikail Abdullah, 8, apabila ditinggalkan ibu kandungnya kerana menghidap Cerebral Palsy (CP) atau lumpuh otak sejak berusia lapan bulan.

Penderitaan kanak-kanak malang itu bermula apabila didera oleh kekasih ibunya pada Julai 2012 menyebabkan ususnya pecah sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

Dia yang mesra dipanggil Adam kini bergantung hidup dengan datuk angkatnya, Mohamad Nor Jantan, 59, dan hanya mampu bersuara tanpa dapat mengerakkan anggota badan dengan sempurna.

Mohamad Nor berkata, dia terperanjat sebaik mengetahui kejadian menimpa Adam melalui siaran berita sebelum ini.

“Pada waktu itu, saya dan arwah isteri, Ramlah Hassan terkejut sebaik mengetahui berita berkenaan.

“Sebaik kami dibenarkan membawa Adam pulang, ibunya Norhidayah Ahmad, 28, yang juga anak angkat saya menghilangkan diri sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan pegawai Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama Naib Pengerusi Majlis Jaksa Pendamai negeri, Amir Hamzah Abd Aziz di Kampung Datuk A, Bukit Rambai, Melaka, hari ini.

Sebelum ini, keluarga itu turut dikunjungi MAIM dan badan bukan kerajaan (NGO) LLLM Tangga Batu yang diketuai Pengerusinya, Alias Abd Wahab bagi menghulurkan bantuan.

Selain menjaga dua anak lelaki kandung, Mohamad Nor turut memelihara anak angkat Mohd Zaini Yaakob, 17.

Bekas tentera itu berkata, kesukaran hidup keluarga yang hanya bergantung kepada pendapatannya sebagai tukang rumah semakin sukar apabila Ramlah meninggal dunia akibat penyakit jantung pada Ogos tahun lalu.

Katanya, apa yang penting ketika ini adalah mencari dan menemui Norhidayah yang dipercayai berada di Kuantan, Pahang.

“Baliklah nak, anak kamu (Adam) pun selalu bertanyakan kamu kerana terlalu rindu. Jika kamu tak sayang dia sekali pun, kamu datang jenguklah mereka di sini. Ayah masih boleh jaga mereka selagi ada hayat,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, pihaknya sedang berusaha mencari pekerjaan yang sesuai untuk Mohamad Nor berikutan dia perlu menguruskan Adam yang sakit terlantar.

“MAIM sudah meluluskan bantuan kewangan RM600 untuk keluarga ini pada Ahad lalu, bagaimanapun kami akan berusaha mencari pekerjaan sesuai untuk Mohamad Nor, selain mencari Norhidayah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 04401-41-00003231-5 atas nama Mohamad Nor Jantan atau menghubungi Alias di talian 019-6674767.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 5:21 PM