MAT Hussin (berdiri tiga dari kanan) bersama rakan pasukan polis ketika menentang komunis. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak

Jertih: “Biarpun tanpa sebarang gaji dan upah, demi menjaga negara daripada ancaman musuh, saya rela berkhidmat,” kata bekas Home Guard (Pasukan Kawalan Tempatan) Pengawal Kampung, Mat Hussin Senik, 76, dari Kampung Padang Luas.

Sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Home Guard bermula 1959 di stesen kereta api di Kampung Geris, Kuala Kerai, Kelantan, Mat Hussin hanya diberi makan minum percuma daripada pihak berkuasa.

Mat Hussin berkata, dia dan beberapa rakan lain diminta berkhidmat dalam pasukan itu selain dikerah untuk mengawal stesen kereta api kerana pengganas komunis pada ketika itu sering merosakkan landasan kereta api bagi menyekat pergerakan penduduk keluar masuk.

“Saya bertugas di stesen kereta api itu namun sesekali memburu komunis di hutan.

“Ia tidak sedikitpun menimbulkan rasa gentar pada diri terutama apabila mendengar berita mengenai pergerakan komunis yang merosakkan landasan kereta api di laluan Tumpat-Kuala Lumpur.

“Walaupun tidak dibayar gaji seperti polis dan tentera, tugas Home Guard tetap sama seperti mereka,” katanya.

Mat Hussin menyertai Home Guard Pengawal Kampung kerana diminta pihak berkuasa membantu pasukan keselamatan lain sebagai pasukan sokongan untuk menentang pengganas komunis yang banyak bergerak di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, Home Guard ialah pertubuhan sukarelawan yang memainkan peranan dalam mengawal keselamatan ketika keadaan darurat 1948 di Persekutuan Tanah Melayu.


MAT Hussin boleh berbahasa Cina menunjukkan sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada 2011 dan Surat penghargaan Polis di atas jasanya. FOTO Mohammad Ishak

“Kami turut mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara untuk mengekang pergerakan komunis supaya segala keperluan asas seperti bekalan makanan, ubatan, pakaian serta senjata tidak sampai ke tangan mereka,” katanya.

Pasukan Home Guard Pengawal Kampung ditubuhkan British dan dibubarkan selepas darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Apabila berlaku Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963 hingga 1965, pasukan ini diwujudkan kembali bagi membantu agensi keselamatan menangani pendaratan dan penyusupan masuk tentera Indonesia.

Mat Hussin berkata, selepas menamatkan tugas dalam Home Guard, beliau kemudian ditawarkan berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penghargaan kerajaan kerana menentang komunis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:59 AM