Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ada berjalan kaki, ada menaiki bas dan ada yang menaiki kereta api meninggalkan kampung halaman yang dibakar tentera Myanmar.

Mereka terpaksa merentasi Sungai Naf di Bangladesh, tiba di Kolkata sebelum meneruskan perjalanan selama sebulan ke Jaipur dan Jammu di India semata-mata untuk terus hidup biarpun terpaksa tinggal di kawasan pelupusan sampah.

Itu nasib hampir 15,000 pelarian Rohingya yang terpaksa bergerak lebih 2,300 kilometer untuk menyelamatkan diri daripada kepungan tentera di Myanmar sejak 10 tahun lalu.

Ternyata laluan yang mereka terpaksa tempuh amat berliku kerana India bukanlah destinasi pelarian seperti Bangladesh dan beberapa negara lain di Asia menyebabkan mereka tiada pilihan lain kecuali tinggal di atas timbunan sampah terbesar di Jaipur.

Kehidupan mereka itu ditemui sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menjejaki penempatan pelarian terbabit di empat kawasan di Hassan Pura, Hartwara, Mali Kute dan Thodi Harmara, baru-baru ini.

Di kawasan pembuangan sampah itu, mereka mendirikan khemah menggunakan barangan terpakai dan terpaksa ‘rela hati’ dikerumuni lalat dan menghidu bau busuk setiap hari.


KEADAAN tempat tinggal pelarian Rohingya di Jaipur. FOTO NSTP

Bagi wakil pelarian, Nurul Amin, 38, mereka terpaksa mengambil jalan jauh untuk sampai ke Jaipur kerana inginkan kawasan penempatan yang selamat bukan seperti kampung kelahirannya di Myanmar.

“Kami di sini hidup dengan ikhtiar sendiri. Ada yang menjadi buruh kasar, bekerja kilang dan melakukan apa saja yang boleh mendatangkan wang.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana komuniti kami boleh berhijrah sejauh ini. Ramai yang ke Thailand, Malaysia dan Indonesia, bukan India. Tapi kami rasa di sini juga selamat dan lebih dekat,” katanya.

Nurul Amin berkata, setakat ini belum ada mana-mana agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu dan ia mungkin disebabkan kehadiran mereka tidak begitu diketahui umum.


PELARIAN Rohingya tinggal dekat kawasan pelupusan sampah di Jaipur. FOTO NSTP

Dia juga terkejut bagaimana NGO dari Malaysia mengetahui kewujudan penempatan mereka dan mengucapkan terima kasih di atas bantuan barangan asas yang diberikan MAPIM menerusi kunjungan berkenaan.

Selain kawasan pelupusan sampah, pelarian Rohingya di India juga menyewa ruang di celah bangunan di Hasan Pura, berhampiran bandar Jaipur dengan harga 2,380 rupee (RM140) sebulan.

Ditanya mengenai apakah mereka mungkin akan kembali ke Maungdaw, Nurul Amin berkata, setakat ini mereka tiada perancangan, malah menganggap tiada lagi jalan untuk pulang ke negara asal.

“Hari ini anda datang. Selepas ini mungkin ada bantuan lain akan menyusul. Kami akan terus di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 10:19 AM