Fazrik Kamarudin

Kuala Lumpur: Selepas dipercayai beroperasi lebih 30 tahun tanpa diperiksa, ‘kekebalan’ sebuah pusat hiburan yang didakwa menjadi tumpuan golongan gay di Jalan Sultan Ismail akhirnya diserbu awal pagi semalam.

Pusat hiburan itu diperiksa dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 46.

Antara agensi terbabit, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan Md Ikshan, berkata ketika serbuan dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi, premis berkenaan dipenuhi kira-kira 100 pengunjung termasuk pelancong.

“Dalam Op BAH ini, pelbagai agensi penguatkuasaan berbeza menjalankan pemeriksaan terhadap premis dan pengunjung, bagi mengesan pelbagai jenis kesalahan.

“Hasil pemeriksaan awal kita dapati pusat hiburan berkenaan memiliki lesen perniagaan sah, bagaimanapun jika kita mengesan ada sebarang kesalahan, kita akan semak semula lesen dan ambil tindakan atas kesalahan dilakukan.

“Saya dimaklumkan oleh pasukan risikan, premis ini dipercayai tidak pernah diperiksa walaupun sudah beroperasi lebih 30 tahun,” katanya ketika hadir mengikuti Op Bah Siri 46, semalam.


PIHAK berkuasa memeriksa kad pengenalan pengunjung pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, semalam. FOTO Asyraf Hamzah

Adnan berkata, selain pusat hiburan berkenaan, serbuan turut dilakukan di dua kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Sri Aman dan PPR Beringin di Kepong.

“Kita lakukan pemeriksaan di kawasan PPR selepas menjalankan siasatan dan risikan dan mendapati kawasan itu mempunyai masalah penagihan dadah yang semakin serius.

“Saya ingin menggesa kepada pemimpin, wakil penduduk atau penduduk itu sendiri supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai masalah dadah di kawasan perumahan mereka.

“Penyaluran maklumat secara terus ini dapat memudahkan kita untuk mengambil tindakan dengan segera, kita tidak perlu ambil masa yang lama untuk bertindak jika ada yang tampil memberi maklumat.

“Bukan sahaja di PPR, kawasan lain juga perlu peka dengan masalah dadah, kita mahu lakukan sesuatu sebelum masalah ini menjadi lebih serius dan sukar untuk ditangani,” katanya.


ANTARA pengunjung kelab yang diperiksa pihak berkuasa. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:48 AM