FOTO hiasan.
Tasnim Lokmaan dan Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Sebuah alat Radiografi Industri (RDD) mengandungi isotop radioaktif iaitu Iridium 192 dilaporkan hilang dan dikhuatiri disalah guna termasuk oleh kumpulan pengganas untuk menghasilkan bom.

Pencarian peralatan seberat 23 kilogram dan berupaya aktif selama 73 hari serta memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu kini giat dilaksanakan polis serta Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia.

Pihak berkuasa bimbang jika peralatan itu jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya seperti pengganas atau orang awam yang mungkin melihatnya sebagai besi terpakai bagi dijual untuk mendapatkan wang.

Peralatan dianggarkan bernilai RM75,000 di pasaran dan mengandungi Iridium 192 itu adalah isotop radioaktif komersial paling kerap dicuri serta berpotensi disalah guna untuk membuat bom.

Difahamkan, RDD itu hilang sejak 10 Ogos lalu selepas dipindahkan pada jam 2 pagi dari Seremban, Negeri Sembilan ke Shah Alam, Selangor oleh dua kakitangan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ujian, calibrasi dan pemeriksaan membabitkan industri gas dan minyak, termasuk kilang jana kuasa, pembuatan, automotif serta pengangkutan.

Sumber berkata, kehilangan peralatan yang diletakkan di ruang belakang pacuan empat roda itu disedari kakitangan berkenaan selepas tiba di Shah Alam, sejam kemudian.

Difahamkan, pekerja berkenaan memaklumkan kepada pegawai penyiasat yang mereka menyedari penutup ruang kargo pacuan empat roda dinaiki terbuka dan percaya alat berkenaan terjatuh ketika dalam perjalanan.

Kakitangan terbabit memberitahu pegawai penyiasat, mereka cuba mencari semula peralatan itu mengikut laluan perjalanan digunakan dari Seremban ke Shah Alam, namun tidak berhasil.

Difahamkan, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mengendalikan kes itu mendapati tiada kesan menunjukkan ruang membawa barang berkenaan diumpil.

Penyiasat turut mendapati sistem kunci ruang terbabit berada dalam keadaan baik dan hampir mustahil untuk ia terbuka sendiri.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam tidak mempercayai keterangan mereka dan menahan kedua-duanya dengan mengambil kira risiko keselamatan yang timbul berikutan kehilangan kawalan ke atas peralatan berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berkenaan dibebaskan Jumaat lalu, selepas polis gagal mengesan sebarang kaitan kejadian dengan mereka, termasuk kemungkinan terbabit dalam kegiatan keganasan atau militan.

Kesimpulan itu dibuat susulan soal siasat pasukan penyiasat dan pemeriksaan forensik terhadap telefon bimbit milik kedua-duanya.

Difahamkan, kebimbangan utama pihak AELB dalam kehilangan misteri itu kerana ia mengandungi bahan radioaktif yang boleh menyebabkan ancaman keselamatan serius.

Mereka khuatir jika ada mana-mana pihak meleraikan komponen RDD untuk dijadikan besi buruk yang boleh menyebabkan pendedahan secara meluas terhadap bahan radioaktif yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

Sumber AELB berkata, belum ada perkembangan baru berhubung kehilangan itu sehingga semalam.

“Kami merayu sesiapa yang memiliki bahan itu supaya menghubungi polis atau AELB segera dan jangan cuba membukanya.

“Kesannya amat buruk jika peralatan berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:35 PM