Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


AKIBAT tidak berpuas hati dengan satu kemalangan kecil, sekumpulan 15 lelaki merusuh hingga merosakkan pelbagai barangan berhampiran restoran di Uptown Avenue, Seremban 2, Seremban, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian 1.15 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Volkswagen dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Katanya, sebaik tiba di kawasan restoran berkenaan, kenderaan pacuan empat roda Range Rover dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan Volkswagen.

Akibat tidak berpuas hati, beberapa lelaki dari Range Rover keluar dari kenderaan itu dan menyerang pemandu Volkswagen.

"Tiba-tiba, kereta jenis Mercedes Benz berhenti di kawasan itu dan beberapa lelaki keluar dari kereta terbabit dan menyertai penumpang Range Rover menyerang pemandu Volkswagen menggunakan kayu serta besi.

"Kekecohan itu dipercayai berpunca daripada kemalangan berkenaan," katanya ketika dihubungi, di Seremban, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, mangsa yang juga pengurus syarikat kawalan keselamatan bagaimanapun tidak cedera dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, 9.17 malam kelmarin dan mendakwa mengalami kerugian RM10,000 akibat kerosakan pada keretanya.


PAPARAN video tular yang menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan restoran di Seremban. FOTO Video tular

"Pada masa yang sama, pemilik restoran terbabit berusia 47 tahun juga membuat laporan polis 8.21 malam (kelmarin) mendakwa kerugian RM1,500 akibat barangan di premisnya dirosakkan kumpulan lelaki yang merusuh terbabit," katanya.

Beliau berkata, pemilik restoran berhampiran dipercayai meminta kumpulan terbabit tidak membuat bising atau bergaduh.

"Permintaan itu tidak diendahkan apabila kumpulan itu bertindak merosakkan kerusi, meja, pinggan dan barangan lain di premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti identiti semua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana merusuh dan khianat.

Rakaman video rusuhan itu tular di Facebook semalam, dan rata-rata netizen mengecam tindakan kumpulan terbabit dan meminta polis membuat tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 2:05 PM