FOH Lim. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan

Melaka: “Jangan harap dapat hidup bebas sekarang,” demikian kata bekas Pegawai Waran II Wong Foh Lim, 80, mengenangkan kehidupan generasi masa kini sekiranya tanpa pengorbanan polis, tentera dan sukarelawan ketika melalui zaman darurat yang hampir meragut peluang Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Foh Lim berkata, generasi kini seharusnya lebih memahami dan mendalami jiwa kemerdekaan berikutan perajurit tanah air terpaksa melalui pahit getir dalam proses mencapai kemerdekaan ketika revolusi bersenjata menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh 12 tahun.

“Bila sudah merdeka (1957), saya lega. Saya gembira dapat melihat anak cucu cicit dapat hidup bebas selepas 61 tahun dan mereka tidak berasa susah.

“Namun, apa yang saya lihat hari ini, pemahaman generasi setiap kali tiba Hari Merdeka, ambil bendera dan menyanyi. Saya harap, mereka dapat memahami apa itu merdeka menerusi ceramah dan sajak yang saya sampaikan dalam program ini,” katanya yang mula berkhidmat dalam tentera sejak berusia 17 tahun.

Foh Lim ditemui pada program Pengisahan Sejarah: Pengalaman Zaman Darurat dan Era Pra-Kemerdekaan di Dewan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Muzium Rakyat, Bandar Hilir di sini.

Bekas jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara 1962 hingga 1966 itu turut mengimbau ketika kerajaan memerlukan tenaga muda ketika tempoh pergolakan itu.

FOH (tengah) bersama peserta mengibarkan Jalur Gemilang pada Program My Story Pengalaman Zaman Darurat dan Era Pra-Kemerdekaan di Dewan Perzim, Jalan Kota. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

“Ibu bapa saya sudah meninggal dunia, kemudian saya masuk latihan ketenteraan selama tujuh bulan di Taiping, Perak dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Berkomunikasi berbahasa Inggeris memberi kelebihan kepada saya yang kemudian dipilih untuk menjadi jurulatih,” katanya.

Beliau berkata, masih terbayang kesedihan ketika tempoh perintah berkurung selama 72 jam dalam hutan ketika mengikut operasi besar-besaran di Baling, Kedah pada tahun 1956, kerana Tunku Abdul Rahman mahukan Chin Peng (Ketua PKM) keluar dari kawasan itu.

“Platun saya, Federation Regiment Malay Special Tiger Squad tidak boleh keluar dan diarah menjalani perintah berkurung di hutan.

“Selepas tempoh 48 jam, Chin Peng setuju untuk keluar dengan syarat Lee Kuan Yew dan David Marshall ada,” katanya.

Katanya, Tunku Abdul Rahman bagaimanapun tidak bersetuju dan menghalau Chin Peng kembali semula ke hutan.

“Tunku juga mengarahkan untuk melepaskan tembakan jika sesiapa bergerak di dalam hutan dan ketika itu juga peluru meriam jatuh di kiri dan kanan kami. Platun kami bernasib baik,” katanya yang turut bangga kerana 35 anggota platunnya mampu membunuh 39 pengganas komunis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 9:22 AM