PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) melakukan usaha mengesan dua lagi penuntut yang lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong. Gambar kecil, Ahmad Daniel Firdaus Zubir. FOTO Rosli Ilham
Hanneeyzah Bariah Baharin


MAYAT kedua mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, petang kelmarin, ditemui terdampar di pesisir pantai berkenaan 5.20 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Mohamad berkata, mayat Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi mayat rakan mangsa, Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemui awal pagi semalam.

Beliau berkata, mayat penuntut Diploma Kulinari Universiti MSU, Kuala Lumpur, itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas ahli keluarga mangsa membuat pengecaman.

"Mayat mangsa ditemui oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ketika membuat rondaan di kawasan pesisir pantai," katanya ketika dihubungi pagi ini.

Mengulas mengenai penemuan mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan terdampar di pesisir pantai, beliau berkata ia disebabkan faktor keadaan pasang surut air laut.

"Kebiasaannya ketika air surut mayat mangsa ditarik arus ke tengah laut dan tenggelam di dasar.

"Apabila air pasang, arus dan keadaan ombak akan menolak mayat ke pesisir pantai menyebabkan mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai," katanya.

Mohd Zailani berkata, operasi SAR seorang lagi mangsa yang masih hilang, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, 19, di kawasan laut diteruskan 7 pagi tadi.

Dalam kejadian 6.20 petang kelmarin, tiga sahabat karib itu lemas selepas mandi di pantai berkenaan bersama empat lagi yang lain yang juga bekas rakan sekolah.

Berita berkaitan

[UPDATE] Arwah patut lapor diri di Kem SUKMA

'Tiba-tiba air pasang'

[UPDATE] Dah jumpa seorang, cari lagi dua

[UPDATE] Ya Allah, semoga anakku selamat...

[UPDATE] Terkilan gagal selamat rakan

Tiga sahabat hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:52 AM