Mohamed Basyir


SEORANG isteri bertindak menikam suaminya dengan pisau dalam pergaduhan dipercayai akibat masalah kewangan di sebuah rumah tumpangan di Gat Lebuh Chulia, Georgetown, semalam.

Pihak polis dimaklumkan berhubung kejadian jam 10.20 malam dan sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi menemui mayat lelaki itu dengan kesan kecederaan di dada.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, suspek, 38, yang juga warga Thailand dipercayai menikam suaminya dikenali sebagai Suriya Kanchaiyaphum, 36, di dapur rumah tumpangan itu.

“Berdasarkan siasatan awal polis mendapati pasangan terbabit dipercayai bergaduh berhubung masalah kewangan sebelum wanita itu bertindak menikam suaminya.

“Berikutan itu, polis menahan wanita terbabit dan turut menemui senjata tajam yang digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.


WANITA dipercayai menikam suaminya ditahan untuk siasatan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Menurutnya, seramai 14 penghuni rumah tumpangan terbabit turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membantu siasatan.

Katanya, wanita terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

Terdahulu, dua penjaga tempat letak kereta ditemui mati di dalam bilik sewa mereka di tingkat dua sebuah rumah kedai di Jalan Argyll, Georgetown.

Mangsa dikenali sebagai Sarbudeen Shikander, 72, dan rakan lelakinya yang juga warga India berusia 44 tahun, ditemui terbaring berlumuran darah dipercayai ditetak dengan senjata tajam.

Pihak polis menerima panggilan jam 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan dua mayat terbabit.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, polis menahan dua lelaki warga Myanmar yang ditemui berhampiran kedua-dua mayat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 2:28 AM
ANGGOTA polis Forensik memeriksa mayat lelaki dipercayai dibunuh di sebuah rumah tumpangan di Gat Lebuh Chulia, Georgetown, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal