FATIN Husna. FOTO Aziah Azmee
FATIN Husna. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir

Walaupun single Terlepas Cinta yang dilancarkan tahun lalu gagal menyerlahkan nama Fatin Husna, kekecewaan itu terbalas menerusi single duet bersama Khai Bahar iaitu Rahsia Kita.

Menerusi lagu itu, siapa sangka tuah berpihak pada Fatin, 23, atau nama sebenarnya Fatin Husna Ibrahim apabila dia kian dikenali dan mulai mengumpul peminat sendiri.

Pada masa sama, Fatin mengakui dan akur sekiranya apa dilalui sekarang adalah tempias daripada populariti Khai Bahar selaku rakan duetnya.

“Selepas lebih setahun berada dalam industri muzik, baru sekarang saya merasai populariti. Walaupun ramai yang mulai mengenali saya disebabkan Khai Bahar, itu hakikat yang perlu diterima.

“Tidak dinafikan ramai beranggapan saya berjaya kerana menumpang populariti Khai Bahar. Saya okey saja jika ada yang bercakap begitu kerana ia pandangan masing-masing. Cuma, saya melihat kejayaan ini adalah kerja berpasukan.

“Saya bertuah bukan saja dapat berduet dengan Khai Bahar, juga mendapat lagu yang sedap. Ditambah pula paduan vokal kami kena dengan lagu ini.

“Saya percaya jika lagu tidak bagus mungkin saya tidak dapat apa yang saya peroleh sekarang. Pendek kata, banyak faktor membantu,” katanya.

Fatin yang kini berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur berkata, disebabkan lagu itu juga peminat mula mendengar semula single pertamanya.

Ketika ia dilancarkan, lagu itu kurang mendapat sambutan. Ia berbeza dengan situasi sekarang apabila ramai yang mahu Fatin menyanyikan lagu itu jika membuat persembahan.

“Saya tidak menjangka single duet ini diterima baik dan menjadi. Saya anggap ini permulaan baik untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

“Malah, jauh di sudut hati saya berasa sangat teruja melihat maklum balas diberikan.

“Pada awalnya, ramai tertanya-tanya siapa saya ketika lagu ini dilancarkan. Bagi peminat baru mereka mulai mencari tahu siapa saya.

“Disebabkan itu juga, lagu Terlepas Cinta kembali mendapat permintaan walaupun selepas lebih setahun dilancarkan.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada Khai Bahar kerana sudi menerima saya sebagi rakan duet. Insya-Allah, jika ada rezeki kami pasti akan bekerjasama lagi. Terima kasih juga kepada syarikat rakaman NAR Records atas peluang diberikan,” katanya.

FATIN Husna. FOTO Aziah Azmee
FATIN Husna. FOTO Aziah Azmee

Perbaiki imej

Selain soal populariti, seperkara yang turut menjadi perhatian adalah penampilan Fatin yang jauh berbeza daripada tahun lalu.

Ketika menemubual Fatin pada pelancaran single sulungnya sebelum ini, dia kelihatan pemalu dan kurang berkeyakinan.

Fatin mengakui perkara itu disebabkan penampilannya yang disifatkan biasa berbanding orang lain terutama pada bahagian gigi.

“Atas inisiatif sendiri saya ambil keputusan dengan memakai pendakap gigi. Ini bukan saja untuk penampilan, tetapi lebih kepada ingin mendapatkan keyakinan diri. Sebelum ini saya nak bercakap dengan orang pun malu.

“Saya sedar diri yang mana ada kekurangan berbanding penyanyi lain. Disebabkan itu, saya perlu berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Fatin berkata, selepas memakai pendakap gigi ada ketika dia berasa tidak selesa ketika menyanyi.

“Bagi saya itu perkara biasa yang dilalui setiap orang yang mengenakan pendakap gigi. Insya-Allah, kalau sudah lama ia akan jadi biasa. Saya tidak berasakan ini satu masalah,” katanya.

Ditanya mengenai idola dalam bidang nyanyian, Fatin mengagumi penyanyi hebat, Ziana Zain. Malah, Fatin sendiri gemar menyanyikan lagu Ziana jika membuat persembahan.

“Setiap kali menjayakan persembahan, lagu Kak Ziana wajib ada. Saya gemar menyanyikan lagu Anggapanmu, Kemelut Di Muara Kasih dan banyak lagi.

“Walaupun ramai cakap suara kami sama, saya jauh ketinggalan daripada Kak Ziana. Banyak lagi perlu dipelajari. Kalau boleh biarlah orang kenal saya dengan bakat yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, buat masa sekarang Fatin ingin fokus kepada bidang nyanyian. Soal ingin sambung belajar bukan dalam waktu terdekat.

“Buat masa sekarang saya ingin fokus terhadap satu bidang dahulu. Ini minat saya sejak kecil lagi. Dalam masa sama, dengan kerjaya ini saya mahu membantu keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 4:30 AM