LISA Surihani. FOTO Eizairi Shamsudin
LISA Surihani. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri

Berada dalam industri bukan bermakna anak seni diulit populariti semata-mata tetapi ada komitmen perlu dilunas sebagai tanda hormat terhadap bidang itu.

Menurut pelakon serba boleh Lisa Surihani, kemunculannya selepas lebih setahun tidak beraksi depan kamera bukan dengan tangan kosong. Ini kerana dia berasakan penggiat seni perlu ada matlamat dan sasaran.

“Setiap pelakon perlu bijak merencana kerjaya. Kena ada matlamat jangka pendek dan jangka panjang.

“Matlamat dan sasaran itu akan membina graf personaliti pelakon. Selepas dua dekad, saya kini jadi lebih memilih.

“Apa yang saya maksudkan bukan memilih dari sudut negatif tetapi ia perlu ada bagi memastikan kerjaya berkembang,” katanya.

Namun, dia tidak menolak sekiranya artis lain ada pendapat berbeza.

“Setiap orang ada cara masing-masing. Kalau ‘pulun habis’ dan terima semua tawaran dirasakan terbaik buat dirinya, tak jadi masalah, katanya.

Terbaru, Lisa rancak menjalani penggambaran drama bersiri original Viu kerjasama dengan Media Prima Berhad berjudul Jibril.

“Kali terakhir saya berada di set penggambaran dan beraksi depan kamera adalah pada Jun tahun lalu. Selepas lebih setahun, saya kembali aktif.

“Saya terpanggil untuk menerima tawaran Jibril atas beberapa faktor termasuk jalan ceritanya. Selepas 30 minit dihubungi penerbit, saya terus terima,” katanya.

Dalam siri itu Lisa memegang watak sebagai Mona, pemilik syarikat pengurus acara. Apabila berlaku insiden pada satu acara diuruskan Mona, satu kes dibuka dan bermula beberapa siri siasatan.

“Semakin kes ini disiasat, semakin banyak rahsia berjaya dibongkar. Terserah kepada penonton untuk melihat sama ada watak Mona antogonis atau protagonis.

“Mengikut tindakan Mona, dia bukanlah wanita yang jahat. Dia ada prinsip yang sentiasa dipegang dan tahu setiap tindakan itu adalah yang terbaik dan untuk menjaga pendiriannya,” kata Lisa.

Selain Lisa, Jibril turut dibintangi bintang hebat lain termasuk Aeril Zafrel dan Tony Eusoff.

LISA Surihani. FOTO Eizairi Shamsudin
LISA Surihani. FOTO Eizairi Shamsudin

Bantu ibu bapa

Selain bergelar artis dan selebriti, Lisa juga ingin menggunakan kelebihan itu untuk membantu masyarakat. Terbaru, dia yang baru saja menerima sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) dari CyberSecurity Malaysia ingin membantu ibu bapa generasi baru.

Skop tugasannya adalah untuk memberikan pemahaman mengenai penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan informasi dalam talian yang sesuai untuk golongan itu.

“Inisiatif saya adalah untuk memberikan pemahaman kepada ibu bapa terutama apa itu informasi sensitif di alam maya.

“Dengan adanya sijil ini, saya diiktiraf untuk memberikan latihan serta mengadakan bengkel untuk membantu ibu bapa,” katanya.

Menurut bintang filem Suamiku Encik Perfect 10 itu, sebagai ibu dia tahu cabaran yang dihadapi pasangan suami isteri zaman ini.

“Saya anggap diri sebagai ibu bapa generasi baru yang hidup dalam era media sosial serta telefon pintar.

“Ada sesetengah tip generasi terdahulu masih boleh diguna pakai, namun ada juga yang mereka tak tahu kerana perbezaan zaman,” katanya.

Katanya, salah satu cara yang digunakan adalah dengan memberi gajet kepada anak-anak namun mengikut durasi masa yang bersesuaian.

“Saya benarkan anak bermain dengan gajet namun saya memuat turun aplikasi pembelajaran.

“Secara tak langsung, sambil bermain mereka belajar. Untuk anak lelaki, dia cepat rasa bosan. Jadi, tempoh bermain gajet tidak terlalu lama berbanding kakaknya,” kata Lisa.

Selain itu, ibu kepada Yahaira Leanne dan Yusof Leonne itu juga akan menggunakan media sosialnya terutama Instagram untuk menyampaikan mesej positif berkaitan penggunaan gajet serta maklumat di alam maya.

Lisa sebelum ini menyertai kursus selama dua hari bersama CyberSecurity Malaysia dan menerima sijil itu pada acara Malam Anugerah CyberSecurity Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 9:12 AM