Balakrishnan ketika hadir di mahkamah, hari ini.
Ibrahim Isa
Ibrahim@nstp.com.my

BEKAS Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM6.012 juta, antara 2012 dan 2013.

Balakrishnan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, Balakrishnan yang juga Pengarah Syarikat Sinnaiyah & Sons Sdn Bhd didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan melakukan pengeluaran berjumlah RM6.012 juta.

Tertuduh didakwa mengeluarkan wang yang juga hasil aktiviti haram daripada akaun Bank Affin Berhad milik syarikat itu, di Bank Affin Berhad, Jalan Kebun Teh, di Johor Bahru, antara 12 Jun 2012 dan 5 September 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Balakrishnan didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan melakukan transaksi pengeluaran wang menerusi akaun bank, pada masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum dibawah akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut seksyen dan akta sama serta dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Sabit kesalahan, Balakrishnan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk V Manukaran dan N Yuhendra.

Terdahulu, Khazrin memohon mahkamah memindahkan perbicaraan dua kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama satu pertuduhan ke atas tertuduh membabitkan tuntutan palsu sebanyak RM13 juta membabitkan Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka, pada 2013 dan akan dibicarakan pada 3 September ini.

Hakim Jailani Rahman kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes bagi dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:00 PM