RISTEENA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Sejak mula dikenali melalui drama Menjinak Ombak kemudian filem Girlfriend Kontrak kira-kira lima tahun lalu, nasib Nur Risteena Munim Zainur Ilyas, 28, masih di takuk lama.

Namanya tidak begitu menonjol tetapi tidak juga tenggelam.

Bukan tidak ada naskhah yang baik dan boleh diperkatakan, tetapi ada antara naskhah drama dan filem lakonannya tular di media sosial.

Pelbagai persoalan juga timbul, adakah situasi itu adalah pilihan Risteena atau sebaliknya?

“Mungkin saya belum dapat drama atau filem yang betul-betul boleh naikkan nama. Namun, saya bersyukur walaupun kurang dikenali, saya sentiasa diterima dalam bidang ini. Tawaran berlakon juga sentiasa ada.

“Itu sudah cukup buat saya sebab kerana jika nama berada di atas, ia sementara saja. Naiklah macam mana pun, lambat laun akan jatuh juga dengan kehadiran ramai bakat baru,” katanya.

Menganggap itu perkara lumrah, Risteena mengakui ramai bakat baru yang ingin menyertai bidang ini tetapi tidak semua ada peluang menjadi pelakon.

Disebabkan situasi itu, dia enggan merungut dan sentiasa bersyukur kepada Allah sekali gus rezekinya sentiasa ‘murah’.

Pencapaian membanggakannya pasti dengan sudah berlakon lapan filem dan puluhan drama, malah Risteena pernah dicalonkan untuk beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015, Anugerah Bintang Popular BH 2016 dan Bintang Harapan Festival Filem Malaysia ke-28.

“Pelakon yang berada di atas pun belum tentu dapat peluang seperti yang saya dapat ini,” katanya.

Ditanya sama ada akan lebih memilih karya supaya dapat memberi impak positif dari segi populariti dan nama, Risteena ada jawapannya sendiri.

Katanya, pada masa ini segala tawaran adalah rezeki dan tidak ada istilah dia memilih rezeki yang dikurniakan.

“Kecuali jika ada dua tawaran, barulah saya pilih mana yang bersesuaian. Kadang-kadang tawaran diterima bertembung dengan tawaran yang lain maka saya terpaksa tolak.

“Pernah juga tawaran yang terpaksa ditolak tiba-tiba saja ‘meletup’ dan ‘trending’. Mungkin jika saya terima tawaran itu, nama saya terus melonjak,” katanya.

Namun, itu tidak membuatkan Risteena menyesal kerana percaya rezeki itu sudah tertulis bukan miliknya.

Seperkara lagi yang menjadi perbualan adalah perbandingan antara Risteena dan adiknya, Ruhainies yang dilihat jauh lebih popular.

“Perbandingan itu perkara biasa. Walaupun tidak dibandingkan dengan adik, mungkin orang akan bandingkan dengan pelakon lain pula.

“Untuk apa saya perlu cemburu dengan adik sendiri? Saya sangat gembira dengan pencapaiannya kini,” katanya.

Seorang lagi adiknya, Asha Zainul juga mula berjinak-jinak sebagai pelakon dan Risteena tidak menganggap ia persaingan antara adik-beradik.


RISTEENA. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Mungkin tidak ramai yang tahu, pelakon filem Hantu Wangan dan Qhaliq ini pernah menerima Anugerah Ikon Usahawan Tahunan Kosmetik & Pakaian pada Malam Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2018 anjuran Niaga Times.

Itu pun selepas produk kecantikan yang dilancarkannya, Cantik Dara pada April lalu mendapat tempat di hati pengguna.

Melihat pada pembabitannya ke dalam dunia perniagaan pula, Risteena berkata, ia hanyalah sebagai persiapan untuk masa depan.

“Apa yang saya buat sekarang hanya untuk persiapan apabila dunia lakonan mungkin tidak lagi berpihak kepada saya.

“Apa sekali pun, minat dalam bidang lakonan tetap saya akan teruskan seperti biasa,” katanya.

Selain itu, rezeki melalui bidang lakonan inilah dia mampu membeli aset seperti kereta, rumah dan membuat pelaburan dalam bidang perniagaan ini.

Belum sedia kongsi kisah cinta

Bakal mencecah usia 29 tahun pada 19 November ini, Risteena yang pernah dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan sebelum ini mengakui dia mahu fokus kepada kerjaya saja pada masa ini.

“Setiap wanita mesti ada niat untuk berkahwin, cuma saya tidak mahu bercakap mengenai perkara yang belum terjadi bagi menjaga hati banyak pihak.

“Buat masa ini biarlah saya fokus pada kerjaya lakonan dan perniagaan. Apabila sampai masanya nanti, saya akan kongsikan,” katanya.

Baginya, berita gembira dan baik seperti perkahwinan tidak wajar disembunyikan.

Namun, dia tidak menafikan mempunyai ramai kawan lelaki tetapi untuk menjurus kepada seorang yang istimewa masih terlalu awal.

Enggan berkongsi lebih lanjut mengenai dengan siapa dia berkawan, Risteena mengalih perkongsian mengenai aktiviti lakonan terbaru.

“Pada masa ini saya sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Rahsia Hati dengan adik, Asha. Saya melihat dia ada potensi untuk pergi jauh sama seperti Ruhainies. Harapannya dia dapat diberi lebih banyak peluang selepas ini,” katanya.

Pada masa ini, drama lakonannya berjudul Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di slot Iris TV3 sejak 7 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:21 AM