Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dia diberitahu tempoh untuk hidup di sisi isteri tercinta hanya tinggal empat tahun saja lagi selepas wanita itu disahkan oleh doktor menghidap kanser ovari tahap empat.

Ini menyebabkan Mohd Moha Hazeefisz Mat Arif, 39, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan mahu memberikan yang terbaik termasuk menjaga keperluan isterinya Nur Shafina Abdul Hamid, 38, secukupnya kerana menyedari bila-bila masa saja pasangannya itu dijemput Ilahi.

Keperitan Mohd Moha Hazeefisz sebenarnya tidaklah terhenti setakat itu saja kerana dalam serba kekurangan itu dia turut terpaksa menjaga bapa mentua Salim Nayan, 89, yang terlantar di rumah di Flat Sri Sarawak di sini, sejak beberapa bulan lalu.


MOHD Moha Hazeefisz dan isteri di Flat Sri Sarawak. FOTO Aziah Azmee

Tidak ramai mengetahui dugaan ditanggung lelaki OKU ini kerana dia berperwatakan ceria dan sentiasa menyembunyikan masalah dihadapi berikutan tidak mahu menyusahkan orang lain.

Mohd Moha Hazeefisz berkata, isterinya yang juga OKU cacat penglihatan disahkan menghidap kanser ovari pada Ogos 2015 berikutan sering berasa sakit dan lemah badan.

“Termenung saya seketika kerana isteri disahkan menghidap kanser ovari tahap empat, sekali gus memerlukan penjagaan rapi kerana dia sudah mula tidak boleh berjalan dan bergerak seperti biasa.

“Situasi berkenaan berterusan dan kini dia hanya terlantar kerana tidak berupaya untuk menguruskan diri, sekali gus perlu pakai lampin dan dipapah jika mahu ke tandas,” katanya, yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah hospital swasta di bandar raya ini.


TIGA anak Mohd Moha Hazeefisz tinggal bersama di Flat Sri Sarawak. FOTO Aziah Azmee

Bapa kepada tiga anak berusia 10 hingga 16 tahun itu berkata, setiap hari dia akan bangun seawal jam 4 pagi untuk menguruskan isteri serta bapa mentua sebelum ke tempat kerja.

“Saya pastikan keperluan isteri dan bapa mentua disiapkan terlebih dahulu sebelum ke tempat kerja kerana tiada siapa yang akan menjaga mereka sepanjang ketiadaan saya.

“Berikutan isteri sakit dan tidak boleh bekerja menyebabkan saya sebagai ketua keluarga perlu menggalas tanggungjawab mencari sumber pendapatan lebih dengan melakukan pekerjaan sebagai tukang urut hingga lewat malam,” katanya yang juga menerima bantuan daripada Baitulmal setiap bulan.

Menurutnya, dia tidak mahu mengeluh dengan ujian yang dihadapi kerana beranggapan ada individu lain yang hidupnya lebih perit dan juga mengalami kesukaran dalam kehidupan mereka.

“Selagi saya masih mampu dan mempunyai kudrat saya akan pastikan segala keperluan isteri terjaga, malah tidak mahu menyerah kepada takdir semata-mata.

“Mujur tiga anak saya dijaga oleh ibu bapa di Jelebu, Negeri Sembilan dan mereka akan pulang ke rumah apabila cuti sekolah kerana lebih baik mereka duduk di sana kerana di bandar raya ini mempunyai pelbagai cabaran,” katanya.


MOHD Moha Hazeefisz pastikan keperluan bapa mentua dan isteri terjaga sebelum keluar bekerja. FOTO Aziah Azmee

Selain itu, katanya, dia juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM3,000 bagi menampung perbelanjaan dapur serta kos rawatan isteri dan bapa mentua.

“Alhamdulillah, ada individu yang tampil menghulurkan sumbangan dan barang keperluan terutama untuk isteri seperti lampin pakai buang serta ubat-ubatan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan dan bantuan boleh salurkan ke akaun bank Nur Shafina Abdul Hamid 164454024535 (Maybank).


HANI Radiatul Husna (kiri) membantu bapanya menyediakan kerusi roda untuk ibu. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:17 AM