FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil

IBU kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang meninggal dalam nahas helikopter tiga tahun lalu, memfailkan permohonan untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka milik bekas Ahli Parlimen Rompin itu yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Aminah Abdullah, 84, yang diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman memfailkan permohonan itu pada 2 Mac lalu mengikut Seksyen 46 (ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Ketika ditemui media selepas prosiding pengurusan kes, Kamar Ainiah memberitahu, permohonan itu difailkan bagi menentukan bahagian-bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Jamaluddin.

Menurut Kamar Ainiah, pihaknya telah memaklumkan mengenai permohonan yang dibuat Aminah kepada balu Allahyarham, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan empat anaknya yang berusia antara 23 hingga 33 tahun.

Kamar Ainiah berkata, antara harta yang perlu di masukkan di dalam senarai untuk difaraid adalah lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Makkah serta syarikat milik Jamaludin.

" Balu Allahyarham memohon untuk menjadi pencelah (dalam permohonan ini) dan bagi pihak ibu selaku pemohon, beliau tidak mempunyai bantahan sekiranya waris-waris lain ingin menjadi pencelah.

" Berikutan itu, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor menetapkan 13 September ini untuk pengurusan kes," katanya.

Aminah yang berkerusi roda hadir ke mahkamah ditemani adik lelaki Jamaluddin iaitu Mohamad Najeb Ali.

Jamaluddin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang, helikopter jenis Dauphin AS365 Dauphin yang membawa enam penumpang itu dilaporkan meletup di udara sebelum terhempas kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

Selain Jamaluddin, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias adalah antara enam orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi helikopter Aidana Baizieva; pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis kenduri kahwin anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang.

Helikopter itu dalam penerbangan dari Kuantan ke Subang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:34 PM