Yusof anggap jumlah dicapai luar dugaan. FOTO HM Digital/fail HM
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


TAYANGAN awal filem Munafik 2, semalam berjaya menewaskan kutipan tayangan awal filem Hantu Kak Limah (HKL) dengan jumlah kutipan sebanyak RM2.05 juta berbanding RM650,000 untuk HKL.

Kutipan itu juga sekaligus lebih tinggi daripada tayangan hari pertama HKL yang mengutip RM1.1 juta sebelum ini.

Penerbit Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berkata, jumlah itu adalah di luar jangkaan.

“Benda sebegini jarang berlaku. Paling tidak pun, untuk tayangan awal sebegini, selalunya hanya boleh mengutip sebanyak RM500,000 ke RM600,000.

“Alhamdulillah, kerana secara tak langsung, ramai peminat filem kembali ke pawagam untuk menonton filem sekaligus memberi sokongan kepada filem tempatan,” katanya kepada Harian Metro.

“Terima kasih kerana menayangkan ‘trailer’ Munafik 2. Secara tak langsung, itu juga menjadi promosi untuk filem kami.

“Saya tidaklah terlalu berharap untuk Munafik 2 mencecah jumlah kutipan setinggi HKL. Kalau dapat mencatat jumlah sama seperti Munafik pertama pun, saya dah berpuas hati,” katanya.

Yusof juga berharap agar pembikin filem tempatan akan terus menghasilkan karya berkualiti dan mencuri hati peminat filem tempatan semula.

Munafik 2 membariskan pelakon hebat antaranya Syamsul Yusof, Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi mula ditayangkan pada hari ini di pawagam seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:51 PM