ANTARA pasangan yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi

“YA, saya sini untuk melepaskan rindu." Itu pengakuan berani oleh seorang remaja perempuan ketika ditanya tujuannya ke Melaka selepas dicekup bersama teman lelakinya di sebuah hotel di Batu Berendam, di Melaka, pagi ini.

Gadis berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah kolej di Selangor itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sempena Ops Khas Ambang Hari Kebangsaan, jam 1.30 pagi.

Gadis itu berkata, dia tiba di Melaka pada petang semalam sebelum mendaftar masuk ke hotel berkenaan untuk melepaskan rindu dengan pasangannya sebelum pulang semula, hari ini.

Katanya, dia hanya akan ke negeri ini ketika waktu cuti semata-mata untuk bertemu dengan teman lelakinya yang juga penuntut kolej di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, dalam operasi khas itu seramai 14 individu ditahan selepas didapati bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim.

Beliau berkata, sebanyak tujuh hotel bajet di sekitar Batu Berendam yang sering menjadi kunjungan pasangan kekasih ditinjau sepanjang operasi khas itu bermula jam 11 malam hingga jam 2.30 pagi.

"Tujuh pasangan yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 48 tahun turut membabitkan seorang janda serta dua pelajar.

“Ketika pemeriksaan, pasangan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah mengatakan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mengaku hanya pasangan kekasih," katanya.

Rahimin berkata, pelbagai alasan diberikan antara hanya singgah di hotel untuk berehat sebelum pulang ke rumah.

“Ada lelaki berusia 23 tahun itu yang bertongkat kerana patah kaki kanan memberi alasan singgah untuk berehat.

“Katanya, selepas berehat teman wanitanya akan menghantarnya pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yng ditahan kemudian dibawa balik ke pejabat JAIM untuk siasatan dan rakaman percakapan.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 3:57 PM