TONY Hawk memberi kata-kata semangat kepada Fatin. FOTO/FAIL
Aida Adilah Mat


SOKONGAN bertali arus terus diberikan kepada atlet papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi selepas menerima kecaman hebat daripada netizen berikutan prestasI luar dugaan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu lalu.

Video kegagalan Fatin beraksi dalam acara papan selaju wanita itu menjadi tular dan dikecam hebat oleh netizen sehingga atlet itu memadam kesemua gambar di Instagram selain turut memuat naik kapsyen mohon maaf atas kegagalannya.

Video itu turut mendapat perhatian dunia luar sehingga legenda papan selaju dunia Tony Hawk memuat naik komen di Instagram memberi sokongan terhadap atlet muda negara berusia 16 tahun itu.

Dalam entri yang dimuat naik oleh atlet terkemuka papan selaju dunia berusia 50 tahun itu, beliau meminta agar Fatin untuk tidak putus asa meneruskan perjuangan dalam menaikkan martabat sukan papan selaju.

Malah apa yang berlaku kepada Fatin ketika temasya Sukan Asia baru-baru ini mampu untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia.

“Jika saya terlalu mendengar komen negatif dari dunia luar sudah lama saya berhenti meluncur. Netizen ini hanya tahu untuk melepaskan kemarahan terhadap kegagalan dalam hidup mereka kepada anda.

“Jangan putus asa meneruskan perjuangan kerana anda mampu untuk menjadi inspirasi kepada generasi muda di Malaysia,” katanya.

Tony cukup dikenali dalam dunia papan selaju dan mengungguli setiap pertandingan yang disertainya. Juara dunia itu bukan saja hebat dengan aksi papan luncurnya, malah berjaya sebagai ahli perniagaan di samping memiliki pakaian, peralatan papan luncur, permainan video dan DVD dengan jenamanya sendiri, iaitu Tony Hawk.

Beliau menyertai kira-kira 103 pertandingan profesional dan menjuarai 73 daripadanya dan memenangi tempat kedua sebanyak 19 kali. Sehingga ke hari ini ia adalah pencapaian terbaik dalam sejarah sukan papan luncur.  Malah Tony pernah memenangi sesuatu kejohanan walaupun dia hanya tidur selama tiga jam pada malam sebelumnya.

Pembabitan Fatin buat pertama kali di Sukan Asia itu turut mendapat perhatian penyanyi terkemuka negara, Yuna.

Yuna turut menitipkan kata-kata semangat kepada Fatin dengan pesanan tiada apa yang lebih membanggakan daripada melihat seorang gadis berusia 16 tahun mewakili Malaysia dalam sukan.

“Kami faham yang kamu terlalu gementar saya pun gementar juga, sampai terlupa lirik semasa siaran langsung di TV dan sebagainya. Tapi tak mengapa, akan selalu ada peluang lebih baik dan kamu akan beraksi lebih bagus. Saya percayakan kamu.

“Ya, banyak cemuhan di luar sana tetapi mereka bukan pengemudi kapal kamu. Mereka tidak akan tahu macam mana rasanya menjadi kamu, harungi semua ini dan bangun semula.

“Mereka tidak mengalami semua ini, sebab itulah pengalaman ini sangat penting supaya kamu belajar daripadanya. Seperti mengatasi rasa takut kamu,” kata Yuna.

Terbaru Fatin dalam Instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan yang tidak berhenti memberi sokongan.

“Tidak pernah akan berhenti dan terus berjuang selamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 11:36 AM