RAYSHA. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Biarpun hampir enam tahun menjalin hubungan cinta dengan pelumba kereta F3 negara, Nabil Jeffri, pelakon Raysha Rizrose mengakui belum ada perancangan mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.

Juara pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 ini berkata, dia mahu memberi laluan kepada dua kakaknya, Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose untuk mendirikan bahtera perkahwinan.

“Kami bercinta sejak 2013. Namun, tidak terburu-buru untuk berkahwin kerana masing-masing masih muda dan belum bersedia.

“Sejujurnya, kami tidak letak sebarang sasaran untuk berkahwin kerana usia saya baru 22 tahun dan Nabil 25 tahun. Jadi, biarlah lepaskan kakak dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Cintaku Di Bumi Izmir baru-baru ini.

Kata Raysha, meskipun ramai sudah tahu mengenai jejaka pilihan hatinya itu, dia memilih untuk tidak terlalu berkongsi hal peribadinya di media sosial.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan perkara buruk yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Saya seorang yang agak berahsia dan jarang berkongsi gambar kekasih di media sosial. Bagi saya itu lebih baik tetapi bukan bermakna mahu merahsiakannya.

“Sebenarnya ada saja gambar di Instagram saya cuma tidak terlalu kerap memuat naik gambar bersama. Sebagai selebriti saya perlu menjaga sensitiviti dan tidak boleh melampaui batas. Cukuplah hubungan kami berjalan dengan keadaan yang sederhana,” katanya.

Ditanya bilakah sasaran menamatkan zaman bujang, Raysha berkata dia belum memikirkan perkara itu kerana mahu mengukuhkan karier terlebih dahulu.

“Saya sibuk dengan kerjaya seni manakala jadual Nabil padat dengan latihan serta pertandingan besar akan datang.

“Banyak lagi cabang kerjaya yang ingin saya ceburi. Berilah saya masa untuk mengejar cita-cita terlebih dahulu kerana bimbang apabila sudah berkahwin kelak komitmen akan beralih kepada perkara lain,” katanya.


RAYSHA bersama barisan pelakon Cinta Di Bumi Izmir. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Bercerita mengenai drama Cintaku Di Bumi Izmir yang disiarkan di Unifi TV saluran HyppSensasi 116, Raysha mengakui teruja bergandingan dengan Hefny Sahad yang juga bekas kekasih kakaknya, Uqasha.

“Pada mulanya saya terkejut apabila mengetahui Hefny pasangan saya. Bukan kerana tidak suka tetapi sudah mengenalinya lebih awal. Kami tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dan profesional apabila membabitkan soal kerja,” katanya.

Kata Raysha, dia juga seronok berpeluang membintangi drama itu kerana dapat mempelajari bahasa Turki.

“Menerusi drama ini saya perlu bertutur dalam bahasa Turki. Meskipun agak susah, saya mendapat bantuan daripada seorang rakyat Turki yang akan memastikan dialog saya betul.

“Satu pengalaman baru dan saya berterima kasih kepada Creative Skill Solution kerana buka peluang ini. Saya harap drama ini akan diminati dan mendapat sambutan,” katanya.

Drama yang menjalani penggambaran di Izmir, Turki itu disiarkan sejak Ogos lalut itu turut dibintangi Nabila Razali dan Syafie Naswip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:08 AM