Bersama rakan artis yang melawatnya Norlia Ghani. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Ridzuan Abdul Rahman


“SEBELUM ini saya hanya ada masalah darah tinggi dan kolesterol. Tak sangka tiba-tiba doktor mengesahkan saya kini menghidap penyakit kanser esofagus (Esophageal Cancer) dan perlu menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB),” kata pelakon Zaibo mengulas keadaan kesihatannya.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 62, popular menerusi watak Pak Selamat dalam sitkom Spanar Jaya, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak semalam.

“Saya sebenarnya menetap di Batu Pahat, Johor. Kemasukan di HSB pun atas keputusan Hospital Batu Pahat yang merujuk kes penyakit saya ke sini.

“Terus terang saya sebenarnya terkejut dan enggan hebohkan kisah sakit ini kepada masyarakat. Itulah sebabnya saya lari daripada orang kerana tak nak ada komen-komen negatif yang dilemparkan terutama di laman sosial.

“Ia boleh membuatkan bukan saya sahaja tapi keluarga juga akan turut tertekan,” katanya memberikan kerjasama yang baik apabila dihubungi.

Zaibo berkata, simptom penyakit dialami membuatkan dia tersedak dan muntah setiap kali makan dan kini hanya mengambil makanan dalam bentuk cecair.

“Saya memang tiada tanda-tanda sakit dan hanya bermula dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu. Makanan sesuai buat saya sekarang ialah susu khas yang membekalkan zat kepada badan.

“Sekarang saya masih melalui prosedur ditetapkan dalam rawatan. Walaupun pernah buat prosedur itu di Hospital Batu Pahat, ia perlu dibuat semula di HSB.

“Saya sekarang masih menanti temujanji untuk proses PET Scan yang lebih detail daripada CT Scan bagi mengenal pasti dimana kuman merebak,” katanya.

Bagaimanapun Zaibo terpaksa menunggu terlebih dahulu kerana alat ini hanya terdapat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya.

“HSB sudah mengaturkan temujanji tapi malangnya giliran menunggu terlalu panjang. Terpaksalah saya tunggu tarikh dan masa sesuai.

“Namun sekiranya saya nak buat proses cepat, saya boleh ke pusat perubatan swasta iaitu Prince Court atau Subang Jaya Medical Centre (SJMC).

“Keputusan diperolehi memang cepat dan memudahkan rawatan dibuat tapi kos perlu dikeluarkan ialah RM4,000,” terangnya.

Zaibo secara berterus terang mengakui agak sukar menyediakan kos ini dan berbesar hati sekiranya ada pihak mahu memberikan sumbangan kepadanya.

“Saya sangat-sangat menghargainya. Apatah lagi saya sendiri dah dua tahun tak berlakon dan tiada punca pendapatan lain.

“Bersyukur sangat kalau ada yang dapat taja kos perubatan saya. Kalau boleh saya nak buat proses PET Scan secepat mungkin.

“Pihak HSB kata lebih kurang seminggu lagi baru akan dapat jawapan bila giliran saya. Untuk sementara waktu, saya kena keluar dulu daripada wad kerana bimbang berlaku jangkitan kuman,” katanya yang perlu menjaga sendiri kesihatan sebelum menjalani proses ini.

Apapun Zaibo meminta semua pihak terutama sahabat handai, rakan artis serta semua peminat agar sama-sama mendoakan agar kesihatannya stabil dan sihat seperti dulu dan urusannya dipermudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 7:03 PM